Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

Marquez kembali ke MotoGP selepas ujian mata

-

MADRID, 23 DIS – Marc Marquez, yang musimnya berakhir awal kerana masalah penglihatan berikutan kemalangan, akan meneruskan persiapannya untuk musim MotoGP 2022 selepas ujian mata yang meyakinkan, menurut pengumuman pasukannya kelmarin.

Honda berkata Marquez telah mengadakan “temu janji berkala ke pakar oftalmologi untuk menilai perkembangan penglihatannya sejak dua bulan lalu.”

“Perkembangan yang dicapai telah dianggap menggalakkan dan Marquez akan meneruskan pelan rawatan konservatif untuk beberapa minggu akan datang,” tambah Honda dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka.

Marquez telah mengalami masalah penglihatan berganda sejak kemalangan latihan di luar jalan pada akhir Oktober.

Juara dunia MotoGP enam kali berusia 28 tahun itu terlepas dua pusingan terakhir musim ini dan sesi ujian Jerez pada Disember.

“Keadaan itu tidak menghalang pelumba tersebut daripada meneruskan rancangan latihan fizikalnya untuk mempersiapkan dirinya bagi menghadapi musim baharu,” kata Honda.

Marquez terlepas keseluruhan musim 2020 dan beberapa perlumbaan pertama 2021 kerana kecederaan serius pada lengan kanannya yang di-alami dalam kemalangan perlumbaan.

Walaupun masih lemah di bahagian lengan, dia memenangi tiga perlumbaan untuk menduduki tempat keenam dalam Kejohanan Dunia.

Dia sudah mengalami masalah penglihatan berganda pada awal kerjayanya berikutan kemalangan di GP Malaysia dalam Moto2 pada 2011 yang memaksanya menamatkan musimnya. – AFP

Marc Marquez akan meneruskan persiapannya untuk musim MotoGP 2022 selepas ujian mata yang meyakinkan. – AFP
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -