Marquez sambar petak utama Le Mans

PERANCIS, 19 Mei – Juara dunia Marc Marquez menyamai rekod Valentino Rossi dengan 55 kedudukan petak pertama MotoGP apabila mencatat masa terpantas dalam ujian kelayakan Grand Prix Perancis dekat Le Mans, kelmarin.

Sesi kelayakan berlangsung dalam kedaan cuaca berubah-ubah yang menjadikan pemilihan tayar sesuatu yang sukar namun Marquez mencatat masa terpantas sebelum terjatuh dari jentera Honda miliknya.

Penunggang Sepanyol itu pantas bangun dan meneruskan saingan untuk mencatat masa 1 minit 40.952 saat pada sesi awal ketika litar berkenaan masih kering.

Dia disertai oleh pasangan Ducati, Danilo Petrucci dan Jack Miller di barisan depan bagi saingan pusingan kelima awal pagi esok.

“Hari ini adalah satu daripada hari ia menggelikan hati apabila menjadi pelumba kerana dalam keadaan ini anda tidak tahu sama ada untuk terus menggunakan tayar basah atau kering,” kata Marquez.

Pelumba dari Sepanyol itu mempunyai kelebihan satu mata mengatasi pencabar dari Suzuki, Alex Rins dalam kedudukan keseluruhan. Rins ketinggalan di petak ke-19 awal pagi tadi.

“Dengan hujan renyai-renyai ini, ia memang sukar. Dalam kelayakan kami tahu perlu pantas pada pusingan pertama kerana air masih sedikit di litar.

“Kemudian apabila air sudah banyak ia menjadi lebih sukar,” kata Marquez selepas mencatat petak pendahulu ketiga dalam lima perlumbaan musim ini. – AFP

Pemenang petak pertama Jorge Navarro (tengah) diapit oleh Thomas Lutti (kiri) dan Marquez (kanan) berdiri di podium selepas ujian kelayakan, kelmarin. – AFP