MOTEGI, Jepun, 21 Okt – Marc Marquez mencatatkan kemenangan di Jepun hari ini untuk kemenangan ketiganya berturut–turut dalam kejuaraaan dunia MotoGP ketika pesaing dari Ducati, Andrea Dovizioso tersingkir.
Penunggang sensasi dari Sepanyol itu sekarang memenangi lima kejuaraan dalam kelas perdana perlumbaan motosikal, menyamakannya dengan legenda dari Australia, Mick Doohan.
Marquez, masih lagi berusia 25 tahun, mengekori dua penunggang dari Itali, Valentino Rossi, yang memenangi kejuaraan ke tujuhnya pada tahun 2009 dan Giacomo Agostini, yang mencatatkan lapan rekod kemenangan pada tahun 1975 dalam senarai sepanjang masa.
“Saya merasas sangat baik,” jelas Marquez selepas penyingkiran pelumba Dovizioso lewat perlumbaan yang mengesahkan kemenangan ke lapannya musim ini.
“Saya sudah dapat membayangkan ia adalah (penentuan) di sini tetapi perkara penting adalah apabila anda mempunyai peluang awal, anda melakukannya.
“Ia bukanlah litar terbaik untuk melakukannya tetapi saya bekerja keras sepanjang hujung minggu,” tambah Marquez.
“Saya mampu untuk mengekori Andrea dan memutuskan untuk melakukan pecutan sebelum pusingan terakhir. Saya memberikan tekanan, jadi dia melakukan kesilapan, saya kecewa kerana dia layak berada di atas podium bersama kami.”
Marquez bermula di grid keenam di Motegi tetapi dengan segera meningkatkan kedudukan dan di tempat ketiga pada akhir pusingan pertama.
Marquez dikelilingi oleh mekanik pasukannya selepas melepasi garisan penamat untuk melengkapkan kejayaannya dengan berbaki tiga perlumbaan. – AFP
