Marquez terlepas aksi MotoGp andalusia

JEREZ DE LA FRONTERA, 26 JULAI – Juara dunia, Marc Marquez, tidak akan beraksi dalam MotoGP Andalusia di Jerez selepas terlepas dalam kelayakan pada Sabtu, empat hari selepas pembedahan akibat patah lengan.

“Saya memahami ia adalah sangat sukar untuk menunggang motor dan menamatkan 25 pusingan perlumbaan,” kata Marquez.

“Tetapi selepas pembedahan, saya menyedari ada kemungkinan yang tipis,” tambahnya. “Apabila anda menjadi seorang ahli sukan dan mempunyai minat, anda pasti akan mencubanya.”

Juara dunia MotoGP enam kali mengalami kecederaan patah lengan pada bahagian kanan dalam kemalangan musim pembukaan Grand Prix Sepanyol di litar yang sama Ahad lalu dan menjalani pembedahan pada Selasa.

Dia disahkan cergas untuk berlumba pada Khamis selepas lulus ujian kecergasan, katanya pada Sabtu, termasuk melakukan tekan tubi sebanyak 40 kali dengan lengannya yang patah.

“Seorang juara tidak akan hanya berehat di rumah jika dia masih memikirkan terdapat pilihan atau sedikit peluang,” ketua Honda, Alberto Puig berkata selepas kelayakan pada Sabtu.

Penunggang Honda itu terlepas sesi latihan pada Jumaat dan bergelut pada Sabtu semasa sesi ketiga sebelum berundur daripada pembukaan kelayakan tanpa mencatatkan sebarang masa.

Fabio Quartararo dari Perancis, yang memenangi perlumbaan MotoGP minggu lalu, mencatat masa terpantas dengan catatan 1 minit 37.007 saat diikuti oleh penunggang Yamaha, Maverick Vinales yang ketinggalan 0.095 saat.

Sementara Francesco Bagnaia dari Pramac Racing mencatat tempat ketiga dengan ketinggalan 0.169 saat di belakang Quartararo, untuk melengkapkan barisan hadapan grid. Manakala penunggang veteran Itali, Valentino Rossi berada di kedudukan ke-4 bersama Yamaha. – AFP

Marc Marquez tidak akan beraksi dalam MotoGP Andalusia di Jerez selepas terlepas dalam kelayakan. – AFP