Marseille bangkit tewaskan Montpellier

PARIS, 9 OGOS – Marseille bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum meraih kemenangan 3-2 di Montpellier dalam perlawanan pembukaan Ligue 1 semalam tetapi perlawanan itu dicemari dengan insiden balingan botol oleh penonton.

Perlawanan berlangsung di Stade Mosson terhenti pada minit ke-89 selepas pemain gantian Marseille, Valentin Rongier terkena balingan botol di kepalanya.

Pemain Montpellier, Florent Mollet turut menjadi sasaran ketika dia bersiap sedia mengambil sepakan sudut.

Pengadil, Jeremie Pignard mengarahkan kedua-dua pasukan meninggalkan padang ketika penonton diminta bertenang dan perlawanan dimulakan semula selepas 10 minit ditangguhkan.

“Amat malang kerana insiden ini menjejaskan semua orang. Pengadil melakukan apa yang patut dibuat. Kami kecewa melihat situasi seperti ini,’’ kata jurulatih Montpellier, Olivier Dall’Oglio.

Aksi berlangsung di hadapan 13,500 penonton pada minggu pertama musim baharu selepas tujuh bulan perlawanan dalam stadium kosong susulan pandemik.

Jaringan sendiri Luan Perez dan rembatan Gaetan Laborde membolehkan Montpellier mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. -AFP

Aksi penyerang Montpellier, Elye Wahi semasa membawa bola di depan pemain pertahanan Marseille, Matteo Guendouzi dalam perlawanan Ligue 1 di Stadium Mosson di Montpellier. semalam. – AFP