PARIS, 17 Sept – Dimitri Payet melakar gol menarik ketika Marseille membenam Guingamp 4-0 di Stade Velodrome, untuk mara ke tangga kedua Ligue 1, dalam pertemuan semalam.
Selepas Florian Thauvin membuka jaringan pembukaan pada separuh masa kedua, Payet melepaskan rembatan separa voli dari jarak 30 meter, yang meluru ke penjuru pintu masuk gawang lawan. Pemain sayap, Thauvin sekali lagi menambah jaringan lewat sebelum Payet dengan bijak menolak kemas bola kepada Kostas Mitroglo untuk melengkapkan aksi bertenaga Marseille pada separuh masa kedua.
Skuad kendalian Rudi Garcia itu merampas tangga kedua daripada Lilie berdasarkan perbezaan gol, namun masih kekal lima mata di belakang juara bertahan Paris Saint-Germain, yang telah menumbangkan Saint-Etienne 4-0, Jumaat lalu.
“Meraih dua kemenangan berturut-turut membawa kami di tangga kedua, jadi ia amat mudah untuk meraih kedudukan itu, tapi begitu sukar untuk mempertahankannya,” kata Garcia.
Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada separuh masa kedua menerusi Thauvin, namun rembatannya berjaya dihalang selepas larian bertenaganya yang membuka ruang dalam kotak penalti.
Garcia menurunkan Maxime Lopez untuk menggantikan Lucas Ocampos pada separuh masa pertama dan skuad kendaliannya hampir mendahului saingan pada minit ke-50 apabila penyerang Greece Mitroglou menghasilkan tandukan yang gagal memasuki gawang lawan.
“Dia (Lopez) mempamerkan kemahiran teknikal dan kualiti kawalan bola yang baik. Setiap pemain menunjukkan aksi sederhana pada separuh masa pertama dan beraksi lebih baik pada separuh masa kedua,” kata Garcia. – AFP