Marseille kejutkan Monaco

PARIS, 16 SEPT – Marseille bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Monaco 4-3 awal pagi tadi yang menyaksikan Dario Benedetto yang ditandatangani ketika penutup musim perpindahan menjaringkan dua gol.

Skuad kendalian Andre Villas-Boas itu melonjak ke tangga keempat carta selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 susulan dua jaringan Wissam Ben Yedder pada separuh masa pertama.

“Empat gol yang dijaringkan di tempat lawan, ia adalah bagus. Dan dengan kemenangan ini, keyakinan itu datang kembali,” kata Dimitri Payet yang menjaringkan gol ketiga buat Marseille kepada Canal+.

Monaco yang mahu mengelak daripada tersingkir kekal di kedudukan kedua tercorot apabila hanya mengumpul dua mata daripada lima perlawanan pembukaan dan bolos 14 gol.

Tekanan itu sekali lagi membelenggu Leonardo Jardim yang dipecat pada awal musim lalu sebelum kembali selepas mengambil alih daripada Thierry Henry. Marseille kini hanya kekurangan dua mata di belakang juara bertahan serta pendahulu, Paris Saint-Germain dan di belakang Rennes dan Nantes dengan perbezaan gol.

“Mungkin kami berani untuk bermain sedikit lagi,” tambah Payet. – AFP

Salah satu aksi menarik dalam pertemuan liga Marseille dan Monaco di Stadium Loius II di Monaco, kelmarin. – AFP