Marseille sedia tempur PSG

MARSEILLE, 12 JAN – Jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas semalam mengatakan bahawa walaupun terdapat kontroversi menjelang pertemuan pertama menentang Paris Saint-Germain (PSG) musim ini, pasukannya akan berjuang merebut gelaran secara ‘agresif dan intensiti’.

Dia juga mengatakan tidak ada tekanan dengan pasukannya kerana kekayaan PSG telah menjadikan bola sepak Perancis ‘paling tidak seimbang di dunia’.

Tetapi, katanya, tekanan kewangan dari pandemik koronavirus dapat menawarkan ‘peluang untuk mengubah wajah bola sepak’.

Kemenangan 1-0 Marseille ke atas PSG di Ligue 1 pada bulan September lalu merupakan perlawanan teruk di mana lima kad merah telah dilayangkan dengan Angel Di Maria meludah pemain pertahanan Marseille, Alvaro dan Neymar menuduh pasukan lawan menimbulkan isu perkauman.

Trofi Kejuaraan biasanya perlawanan antara juara Ligue 1 menentang pemenang Piala Perancis, tetapi sejak PSG menduduki tangga teratas liga ketika musim dihentikan dan memenangi Piala Perancis, mereka perlu berdepan naib juara liga Marseille di Lens esok.

Reaksi ketua jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas semasa perlawanan Liga Perancis antara Marseille dan Montpellier di Stade Velodrome pada 6 Januari lalu. Villas-Boas menekankan pasukannya akan berjuang merebut gelaran secara agresif dan intensiti. – AP

Jurulatih Marseille mengatakan pertemuan antara kelab seperti perlawanan ‘Clasicos’ di Perancis.

“Peminat mahukan kami beraksi dalam perlawanan ini dengan agresif dan intensiti. Perlawanan di Parc des Princes tidak terkawal pada akhirnya, tetapi itu lebih kerana provokasi dari pihak lain daripada kami,” katanya pada sidang media.

Marseille belum memenangi trofi sejak 2012 tetapi Villas-Boas mengatakan itu berkaitan dengan sokongan kewangan dari pemilik Qatar saingan mereka.

“Marseille tidak memenangi gelaran sejak PSG mengubah wajah bola sepak Perancis. Ini bukan kesalahan Marseille, ini adalah realiti kejuaraan paling tidak seimbang di dunia,” katanya.

“Normal PSG memenangi semua pertandingan kebangsaan. Jadi kami tidak mempunyai tekanan untuk menang.”

“Apabila ada peluang, kamu harus melakukan yang terbaik.” – AFP