Marseille terlepas ‘mimpi ngeri’

PARIS, 11 Sept – Marseille terlepas daripada risiko penyingkiran dalam saingan Eropah, namun kelab gergasi Perancis itu terpaksa beraksi di stadium tertutup pada perlawanan Liga Europa seterusnya, menurut UEFA, semalam.

Kelab itu telah membuat rayuan kepada badan induk bola sepak itu bagi menentang ancaman penggantungan daripada menyertai saingan benua yang dikuatkuasakan Julai lalu.

Larangan itu, penggantungan selama dua tahun dikaitkan dengan beberapa insiden buruk yang berlaku pada Liga Europa musim lalu, ketika saingan menentang RB Leipzig dan Salzburg termasuklah perlawanan akhir menentang Atletico Madrid di Lyon.

Namun, kini mereka akan beraksi pada pertemuan pertama di laman sendiri bagi peringkat kumpulan Liga Europa, menentang Eintracht Frankfurt pada 20 September depan di sebuah stadium tanpa penyokong di Stade Velodrome.

Permintaan untuk beraksi pada saingan kedua di laman sendiri dalam keadaan tertutup akan dikenakan selama tempoh percubaan dua tahun dan mereka juga terpaksa bersaing dalam keadaan tertutup bagi dua lagi saingan Liga Europa, menentang Lazio dan Appollon Limassol dari Cyprus.

Marseille, yang tewas pada perlawanan akhir musim lalu di tangan Atletico, 3-0, dikenakan penggantungan berikutan gangguan yang dilakukan oleh penyokongnya, tindakan merosak, melancarkan bunga api dan melemparkan objek semasa kempen Eropah yang lalu, kata UEFA.

Sebagai tambahan kepada penggantungan itu, denda yang dikenakan kepada Marseille iaitu sebanyak AS$116,041 dikekalkan dan Marseille telah diperintah untuk membayar kerosakan yang dilakukan oleh penyokong semasa perlawanan akhir di Stadium Lyons. – AFP