Di sebalik kejayaan meraih gelaran naib juara di pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) baru-baru ini, penyanyi Marsha Milan berkata, ia memberi sedikit tekanan buatnya tentang jangkaan peminat terhadap lagu baharu yang bakal dilancarkan nanti.
Justeru kata Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 37, tidak mudah untuk dia mencari satu bahan yang betul-betul boleh memikat hati pendengar seperti lagu Cinta sebelum ini.
Sementara itu Marsha juga melihat perjalanan kerjayanya kini semakin rancak dengan undangan nyanyian dan tawaran berlakon.
Bagaimanapun disebabkan tiada pengurus, Marsha menghadapi kesukaran untuk menyusun jadual kerja dan mengimbangi tanggungjawab peribadinya.
Untuk rekod Marsha mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember 2015 di Georgetown, Pulau Pinang.
Sementara itu Marsha yang ditemui ketika sidang media drama Seribu Nina turut berkongsi perasaan teruja diberi kepercayaan melakonkan babak aksi dalam drama tersebut.
Dia juga berharap lakonannya kali ini dapat membuka mata banyak pihak untuk memberi tawaran watak sebegitu.
“Saya harap drama ini menjadi platform supaya portfolio kerjaya menjadi lebih besar selepas ini. Semestinya saya mahu melakonkan watak aksi selepas ini,” ujarnya.
Drama yang disiarkan di aplikasi Viu ini turut menampilkan pelakon Adriana Adnan dan Syafiq Kyle. – Agensi