Marta penyelamat Brazil

VALENCIENNES, 19 JUN – Marta menyelamatkan Brazil daripada tersingkir awal daripada saingan Piala Dunia Wanita apabila jaringan penaltinya membantu pasukan itu menewaskan Itali 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C awal hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Brazil mara selaku salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga untuk ke pusingan kedua selain China berdasarkan pungutan mata tertinggi yang dikutip berbanding pasukan di tangga ketiga dalam kumpulan lain.

Brazil mengumpul enam mata yakni sama dengan Itali selaku juara Kumpulan C dan Australia selaku naib juara namun tidak mustahil akan bertemu Itali sekali lagi di pusingan kedua apabila undian semula dibuat nanti.

Australia pula akan berdepan naib juara Kumpulan A, Norway selepas mara hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas Korea Selatan.

Kedua-dua gol Australia dijaringkan menerusi sepakan penalti. Namun begitu perhatian hari ini lebih tertumpu kepada Marta, 33, yang bukan sahaja membantu Brazil mara malah mencipta rekod sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol iaitu 17 di Piala Dunia mengatasi pemain lelaki. – AFP

Marta (tengah) meraikan jaringan semasa aksi Piala Dunia Wanita menentang Itali di Stadium Hainaut, utara Perancis, kelmarin. – AFP