ISKANDAR PUTERI, 6 FEB – Hasrat memartabatkan kembali sukan bola baling dalam negara dengan mengasah bakat baharu, menjadi antara misi penting orang kuat Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) Pandak Ahmad yang dilantik semula menerajui persatuan itu, 1 Februari lepas.
Pandak yang pernah menjadi Presiden MAHF pada tahun 2011 hingga 2016 sebelum digantikan Tunku Masera Zahira Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, menganggap pemilihan beliau buat kali kedua oleh ahli gabungan persatuan sebagai tanda kepercayaan kepadanya untuk menaikkan semula imej sukan bola baling selepas digugurkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, Julai nanti.
“Kita kecewa (sebab digugurkan dari SUKMA) kerana prestasi sukan bola baling adalah baik malah kalau di peringkat bawah, sukan ini sebenarnya memang salah satu sukan yang sentiasa dapat anugerah dari segi kecemerlangan, keaktifan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Kampung Sungai Melayu, di sini.
Sehubungan itu, katanya pihak persatuan sukan akan membanyakkan lagi program pembangunan pemain di pe-ringkat negeri khususnya dalam kalangan remaja atau pelajar sekolah.
“Kita sasar bawah dari usia remaja sebab kalau ikut sejarah, contoh Thailand…bagaimana Thailand begitu kuat di peringkat Asia dan Asia Tenggara kerana bermula dari bawah. – Bernama




























