Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Bagi memudahkan perjalanan atur cara Acara Sukan Tarik Kalat Tradisi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) agar berjalan dengan lancar dan teratur, pengurus-pengurus pasukan tarik kalat, telah mengadakan mesyuarat bagi menentukan jadual dan kategori yang akan dipertandingkan dalam acara sukan tersebut, pagi tadi.
Menurut Setiausaha Bersama Persatuan Tarik Kalat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Pengiran Haji Mohd Iskandar Shah bin Pengiran Haji Jadid, mesyuarat hari ini adalah sebagai memberi taklimat dan seterusnya menentukan undian bagi acara sukan tersebut.
Persatuan Tarik Kalat, jelasnya lagi telah diberi mandat oleh Jabatan Belia dan Sukan untuk mengelolakan acara sukan ini.
Pada tahun ini, Acara Sukan Tarik Kalat dalam Kategori 70 Kilogram Individu telah disertai seramai enam pasukan terdiri daripada pasukan dari Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait, Daerah Temburong, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ( MS ABDB), Majlis Sukan Polis Diraja Brunei ( MS PDB) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Sementara itu, bagi Kategori B iaitu Berat terkumpul 10 penarik 1100 Kilogram pula disertai oleh tujuh pasukan terdiri daripada pasukan dari Daerah Brunei Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong, Daerah Temburong, MS ABDB, MS PDB dan IPT.

“Perlawanan ini dianjurkan setiap dua tahun sekali dengan tujuan untuk mengekalkan sukan tarik kalat tradisi sebagai sukan rakyat, memartabatkan lagi sukan tarik kalat supaya tidak pupus dan memajukanya ke tahap antarabangsa,” tambah Pengiran Haji Mohd Iskandar Shah lagi.
Semasa mesyuarat tersebut, semua pasukan akan melalui proses undian bagi menentukan kedudukan dan jadual perlawanan mereka yang dikendalikan oleh Pengiran Haji Bakar bin Pengiran Haji Sulaiman, yang juga selaku Setiausaha Bersama Persatuan Tarik Kalat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Melalui undian tersebut, mereka akan dipecahkan kepada dua kumpulan, di mana setiap kategori akan dibahagikan kepada dua pasukan.
Acara Sukan Tarik Kalat Tradisi SKBD dijadualkan bermula pada 25 Mac ini bertempat di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, manakala perlawanan separuh akhir dan peringkat akhir pula akan diadakan pada 26 Mac nanti di tempat yang sama.