LE PUY-EN-VELAY, 17 Julai – Dan Martin mengetepikan cadangan bahawa dia mungkin sudah memakai jersi kuning di Tour de France apabila warga Ireland itu terus meraih beberapa saat yang berharga kelmarin.
Penunggang Quick-Step berusia 30 tahun itu menamatkan hari tersebut engan berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 1 min 12 saat di belakang pendahulu, Chris Froome selepas meraih 14 saat dalam satu pecutan akhir, 12km dari garisan penamat.
Ia adalah hari keempat berturut-turut dia meraih beberapa saat ke atas sebahagian pesaingnya dalam kedudukan 10 teratas.
“Saya berada enam saat di belakang, kedudukan ketujuh, dan menamatkan di kedudukan kesembilan (keseluruhan). Jadi setiap saat penting dalam Jelajah ini,” katanya.
“Semua orang berada di batas mereka hari ini. Esok adalah hari rehat, jadi saya boleh pulihkan tenaga.
“Ia adalah minggu yang brutal. Juga sangat panas.
“Terdapat pergelutan terjadi sepanjang minggu. Sebab itu anda boleh lihat ramai pelumba terjejas.”
Nairo Quintana merupakan penunggang terbaru terjejas dan melepaskan sejumlah masa, hampir empat minit di garisan penamat, menyebabkannya berada di kedudukan ke-11 keseluruhan 6:16.
Martin pula kehilangan masa disebabkan berada di tempat dan masa yang salah.
Hujung minggu lepas, dia tidak bernasib baik apabila terjejas oleh kemalangan Richir Porte dalam peringkat kesembilan Jelajah.
Insiden itu menyebabkan Martin menamatkan perlumbaan dengan 1 min dan 15 saat. – AFP