Martinez ucap selamat tinggal kepada Bayern

BERLIN, 5 MEI – Bayern Munich mengesahkan kelmarin bahawa pemain tengah veteran dari Sepanyol, Javi Martinez akan menjadi pemain ketiga skuad yang memenangi treble untuk meninggalkan kelab juara dunia pada penghujung musim, bersama-sama ketua jurulatih Hansi Flick.

Martinez menyertai kelab pada 2012 dari Athletic Bilbao dengan yuran rekod kelab ketika itu iaitu sebanyak 40 juta euro, memenangi Bundesliga dalam kesemua lapan musim di Jerman. Bayern dan Martinez, semakin hampir untuk meraih kejuaraan liga kali kesembilan berturut-turut pada Sabtu nanti.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu juga merupakan sebahagian daripada skuad Bayern yang memenangi treble piala Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara pada 2013 dan 2020.

Jaringan menerusi tandukan oleh Martinez membantu Bayern menjuarai Piala Super UEFA pada 2013, ketika menentang Chelsea di Prague dan sekali lagi pada 2020, menentang Sevilla di Budapest.

“Saya bangga dan gembira menjadi sebahagian daripada keluarga FC Bayern selama sembilan tahun dan saya sangat gembira kerana memenangi banyak kejuaraan bersama mereka,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Martinez.

Dia akan menyertai pemain pertahanan Jerome Boateng dan David Alaba, yang juga bakal tamat kontrak pada penghujung musim, sementara Flick meminta untuk dilepaskan.

Jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann sudah dinamakan sebagai pengganti Flick bagi musim 2021/2022.

Alaba, 28, dilaporkan bakal menyertai Real Madrid selepas gagal mencapai persetujuan untuk mendapat kontrak lanjutan bersama Bayern, sementara Martinez dan Boateng, kedua-duanya tidak ditawarkan kontrak baharu.

Sama seperti Martinez, Alaba dan Boateng merupakan pemain penting skuad Bayern yang memenangi treble sebanyak dua kali. “Pada penghujung musim ini, Martinez, Alaba, Boateng dan Flick akan diberikan ucapan selamat tinggal oleh FC Bayern sebagai tanda kenangan pencapaian hebat mereka untuk kelab,” beritahu Bayern dalam kenyataannya. – AFP

Javi Martinez bakal meninggalkan Bayern Munich selepas sembilan tahun bersama kelab tersebut. – AP