Masa depan pemuda Iraq terancam akibat COVID-19

BAGHDAD – Pada usia 24 tahun, penuntut kolej Sama al-Diwani dan teman lelakinya mempunyai impian besar.

Teman lelakinya berusaha untuk membuka sebuah kedai roti di Iraq. Manakala dia bersiap sedia untuk pergi ke England, di mana dia akan menghabiskan masa setahun untuk meneruskan pengajiannya pada peringkat sarjana dalam bidang farmasi. Setelah itu mereka akan bertemu kembali dan mendirikan rumah tangga.

Malangnya impian itu terhenti kerana penularan koronavirus, dengan negara-negara ditutup, ekonomi-ekonomi merudum dan dunia dilanda huru-hara. Kemasukannya ke universiti telah ditangguhkan, projek kedai roti terjejas, pendapatan keluarganya telah berkurangan sebanyak 40 peratus dan dia juga khuatir akan kehilangan pekerjaannya di kedai farmasi tempatan.

Al-Diwani dan Athir Assem, 26, merupakan antara jutaan belia di Timur Tengah yang mencari pekerjaan atau merancang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berkahwin yang terjejas oleh pandemik, mengheret mereka ke lembah ketidakpastian dan putus asa.

Perkara tersebut merupakan sesuatu yang lumrah ketika penularan wabak ini, namun kehampaan lebih jelas di Timur Tengah, di mana peperangan menimpa tidak kunjung sudah, pemindahan tempat tinggal dan penyakit menjadikan generasi masa kininya merasa kehidupan yang pahit dan tidak mempunyai harapan. Sementara di Barat pula, ramai yang kehilangan pekerjaan masih percaya bahawa mereka akan mendapat kembali pekerjaan mereka atau kembali bangkit, pandemik di sesetengah negara Arab merupakan tamparan terakhir kepada ekonomi yang pada masa ini di ambang kemusnahan.

Para graduan yang tidak mempunyai pekerjaan berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Minyak untuk mendapatkan pekerjaan di Baghdad, Iraq. – AP
Rowaida Abdul Rahman menunjukkan ijazah sarjananya. – AP

Masalah yang dihadapi juga terasa lebih berat di dunia Arab, kehidupan para belianya lebih mengikut pola berbanding belia di Barat. Budayanya meletakkan lebih banyak tekanan ke atas kaum lelaki yang memerlukan mereka mempunyai pendapatan yang cukup untuk mempunyai tempat tinggal sendiri, berkahwin dan memberi nafkah kepada keluarga.

“Bagi ramai belia, melihat kejatuhan ekonomi sekarang dan melihat masa depan mereka punah di depan mata kepala mereka sendiri…tidak dapat disangkal lagi ia akan memberi pengaruh besar kepada kesihatan mental dan kesejahteraan mereka,” ujar Tariq Haq, pakar pekerjaan kanan di agensi buruh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Beirut.

Meski sebelum pandemik melanda, pada tahun 2019, pengangguran belia di rantau Arab dianggarkan pada kadar 26.4 peratus berbanding kadar global 13.6 peratus, menurut anggaran-anggaran yang dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Sementara masih terlalu awal untuk membuat anggaran pasca COVID-19, data awal menunjukkan bahawa lebih 70 peratus belia di wilayah itu bekerja secara tidak formal, 40 peratus daripadanya bekerja di sektor-sektor yang terjejas teruk oleh pandemik.

Seluruh Iraq, Lubnan dan Syria, sedang mengalami kemerosotan ekonomi yang paling teruk pernah berlaku,mengancam rantau yang terletak di tengah-tengah dunia Arab itu ke ambang kemiskinan yang teruk dan memperbaharui pergolakan. Mata wang Lubnan dan Syria telah jatuh dan inflasi melampau berlaku. Di Iraq, di mana lebih daripada 60 peratus penduduknya berusia bawah 25 tahun, kemerosotan pendapatan negara daripada sumber minyak telah menjejaskan belanjawan negara itu. Kira-kira separuh daripada graduan universiti tidak dapat mencari pekerjaan di sektor awam mahupun swasta sejak tahun 2018.

Di Iraq dan Lubnan, kemarahan orang awam terhadap rasuah, kekurangan perkhidmatan asas dan para pemimpin yang gagal mencipta peluang pekerjaan atau memperbaiki kehidupan para belianya tahun lalu telah menyebabkan ramai melakukan bantahan, yang tidak pernah berlaku, di seluruh negara namun tidak membuahkan hasil.

Jutaan belia ingin berpindah, namun kini destinasi yang dapat dituju di Barat adalah terhad, di mana sentimen anti-imigrasi mula bangkit dan ekonomi mereka sedang bergelut.

Wissam al-Sheikh, 30, baru-baru ini telah kehilangan pekerjaannya sebagai pengurus di sebuah kedai pakaian di pusat bandar Beirut setelah pemiliknya membuat keputusan untuk menutup kedai itu pada hujung tahun lalu. Pekerjaan itu merupakan sumber pendapatan utama bagi keluarganya yang mempunyai enam orang ahli, terdiri daripada kedua orang ibu bapanya dan tiga orang adik-beradiknya,hanya seorang daripada mereka yang bekerja. Minggu lalu, dia dan ahli-ahli keluarganya hanya mampu melihat dengan perasaan penuh iri sementara pemimpin-pemimpin Eropah memeterai perjanjian tabung bantuan berjumlah 1.8 trilion euro (AS$2.1 trilion) untuk ekonomi mereka yang terjejas akibat pandemik.

“Di sini, kami disuruh untuk bercucuk tanam supaya kami boleh makan,” ujar Amjad Ramadan, jurujual separuh masa. Beliau merujuk kepada seruan ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah dan ahli-ahli politik lainnya yang menyeru mereka untuk bercucuk tanam di rumah bagi menampung keluarga masing-masing semasa krisis ini.

Al-Sheikh baru-baru ini telah berpisah dengan tunangnya, separuhnya adalah disebabkan oleh tekanan ekonomi, dan mencemuh idea untuk perkahwinan atau melabur di Lubnan, di mana katanya keadaan yang tidak terjamin merupakan “normal.”

“Mereka (ahli-ahli politik) telah memusnahkan masa depan setiap belia di sini,” katanya. “Saya hanya menanti peluang pertama untuk keluar dari sini.”

Laporan daripada PBB minggu lalu menjangka sebahagian daripada ekonomi Arab akan menurun sehingga 13 peratus tahun ini, menambahkan lagi derita mereka yang terjejas oleh konflik bersenjata. Seramai 14.3 juta orang lagi dijangka akan menghadapi kemiskinan, menambah jumlah keseluruhannya menjadi 115 juta orang, suku daripada jumlah keseluruhan penduduk Arab.

Al-Diwani, ahli farmasi warga Iraq, telah dihantui oleh peperangan dan ketidakstabilan di sepanjang hidupnya. Dia sedang belajar di gred 2 pada tahun 2003 semasa Saddam Hussein digulingkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Iraq telah mengalami pertumpahan darah selama beberapa tahun, dan pengeboman kenderaan menjadi rutin harian. “Dahulu saya selalu berjaga malam, berasa takut terutama ketika ketiadaan elektrik,” ujarnya.

Tahun-tahun kebelakangan ini telah dihantui dengan keganasan daripada kumpulan IS, yang menguasai hampir sepertiga daripada negara itu pada tahun 2014.

Pada tahun 2017, dia bertemu dengan Assem di University of Baghdad, di mana dia belajar dalam bidang farmasi. Mereka berdua telah jatuh cinta dan buat seketika dunia terasa indah.

Mereka telah membuat rancangan bersama-sama. Dia mula bekerja di sebuah farmasi di Baghdad namun ingin mengejar pengajian di luar negara dan Assem menyokong cita-citanya itu. Dia telah diterima masuk ke University of Huddersfield di West Yorkshire, England, untuk pengajian pasca siswazah.

Kedua-dua orang tuanya memberi sokongan penuh dan menyediakan bantuan kewangan untuk menampung sebahagian perbelanjaan untuk kos perjalanannya, duit yang dikumpulkannya menerusi gaji yang diterima daripada pekerjaannya.

“Ia merupakan impian saya untuk menamatkan pengajian dan berkahwin dengan lelaki yang saya cintai,” ujarnya.

Dia mula menyediakan kertas kerja dan permohonan visa. Perkara terakhir yang harus dilakukannya adalah untuk menterjemah sarjana mudanya daripada Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris dan menghantarnya ke universiti tersebut. Kemudian koronavirus melanda dan impian itu telah kabur.

Pihak universiti telah membekukan pengambilannya, dan dia bimbang akan kehilangan tempatnya dan berasa tidak selamat untuk keluar negara lagi. Assem menganggarkan kerugian yang ditampung akibat kelambatan projek kedai rotinya, yang sepatutnya dibuka pada Mei lalu, berjumlah kira-kira $10,000.

Bekerja di farmasi yang terletak di daerah Karrada, Baghdad, al-Diwani bertemu dengan orang-orang yang disyaki menghidap virus itu setiap hari. Dia kembali ke rumah dengan perasaan takut dan bimbang yang dia akan membawa jangkitan itu kepada keluarganya.

“Koronavirus telah menghancurkan saya dan impian saya dan masa depan dengan cara yang tidak dapat dijangka,” katanya.

“Kini masa depan tidak diketahui, dan saya tidak dapat memikirkan bagaimana kami akan dapat bangkit kembali setelah ini.” – AP