Masa lebih awal, pintu masjid, surau dan balai ibadat lebih banyak dibuka

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Dalam usaha menambahbaikkan lagi pengendalian solat Fardu Jumaat kedua dan seterusnya kelak, masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan dibuka lebih awal iaitu pada pukul 11:30 pagi, setengah jam lebih awal daripada sebelumnya dan akan ditutup sebaik sahaja selesai khutbah dan sebelum bilal melaungkan iqamat untuk memulakan solat Fardu Jumaat.

Ia dibuat selepas post mortem dilakukan oleh beberapa agensi terlibat, termasuk Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selepas minggu pertama solat Fardu Jumaat dimulakan pada 29 Mei lalu. Melalui post mortem itu, pihak terbabit bersetuju menambah baik beberapa cara pengendaliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, penambahbaikan itu adalah untuk memastikan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai terutama jemaah yang akan menunaikan solat Fardu Jumaat kelak.

Manakala masjid-masjid dan surau-surau yang mempunyai lebih banyak pintu masuk akan membuka lebih banyak pagar masuk ke kawasan masjid agar jemaah lebih selesa dan lancar, dengan petugas mengimbas kod QR dan pemeriksa suhu badan juga akan ditempatkan di pintu-pintu tersebut. Jemaah dinasihatkan beratur mengikut penjarakan fizikal dan membersihkan tangan menggunakan pensanitasi tangan sebelum masuk ke ruang solat.

Gambar fail solat Fardu Jumaat pertama pada 29 Mei lalu di salah sebuah masjid di negara ini. Kementerian Hal Ehwal Ugama, melalui post mortem yang dibuat bersama beberapa agensi kerajaan mengumumkan sejumlah penambahbaikan bagi melancarkan lagi solat-solat Fardu Jumaat akan datang.
Salah seorang jemaah memeriksa kod QR BruHealth pada solat Fardu Jumaat yang lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani

Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa poster panduan untuk hadir dan berada di masjid, surau dan balai-balai ibadat sudah pun ditampal di luar pagar masjid sebagai tambahan pemberigaannya, selain melalui RTB, akhbar dan platform media sosial.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran ke masjid, surau dan balai ibadat untuk sembahyang Fardu Jumaat adalah masih berdasarkan tapisan tahap kesihatan seseorang menerusi aplikasi BruHealth yang perlu dilakukan setiap hari bermula Isnin sehingga menjelang hari Jumaat.

Muslimin yang diberikan kod warna hijau bolehlah menempah masjid tersenarai dalam aplikasi tersebut, begitu juga warga asing yang berhajat menunaikan solat Fardu Jumaat, perlulah mendaftar dengan BruHealth terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kesihatan mereka dan melayakkan mereka ke masjid, surau dan balai-balai ibadat sebagai jemaah.

Muslimin yang belum mendaftar, dikehendaki berbuat demikian untuk memastikan mereka dapat menempah slot solat Fardu Jumaat.

“Sekiranya tahap kesihatan mereka tidak mengizinkan seperti diberi warna kod lain selain hijau, mereka tidak perlu hadir solat Fardu Jumaat berjemaah di masjid-masjid,

surau-surau dan balai-balai ibadat kerana mereka mempunyai alasan uzur syarie yang melepaskan mereka daripada kewajipan menunaikan solat Fardu Jumaat,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Pada sidang media itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kementerian dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik sehingga masjid dapat dibuka semula dan keperluan-keperluannya dapat diselenggarakan dengan sempurna.

Menurutnya, kerjasama ini adalah berkat semangat perpaduan dan persefahaman dalam melakukan perkara-perkara berkebajikan dan takwa dalam usaha menghindarkan daripada melakukan perkara-perkara kejahatan (dosa).