Masa untuk tetapkan semula haluan Malaysia pasca pandemik

Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR – Selaras dengan jangkaan Malaysia mencapai imuniti kelompok menjelang akhir Oktober ini dan beralih daripada fasa pandemik COVID-19 kepada endemik, langkah seterusnya ialah menetapkan semula haluan Malaysia dalam kebiasaan baharu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik dan barisan pemimpin pembangkang, berikrar untuk mencari titik persamaan bagi menangani pandemik, merangsang ekonomi selain berusaha meredakan pergolakan politik yang berlanjutan sejak sekian lama, satu permulaan yang baik untuk melangkah ke hadapan buat masa ini. 

Perdana menteri juga berjanji Kabinet akan berorientasikan hasil, berasaskan tiga prinsip iaitu peka terhadap keperluan rakyat, bertanggungjawab dan amanah, serta mengembalikan keyakinan rakyat. 

Penekanan akan bersandarkan pada budaya kerja berprestasi tinggi dengan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Semua menteri diberikan tempoh 100 hari untuk mencapai sasaran jangka pendek masing-masing.

Ketika semua menteri menjalankan tugas masing-masing untuk mengembangkan Malaysia, rakyat juga bertanggungjawab memainkan peranan yang sama.

Apatah lagi satu daripada prinsip yang digariskan oleh Ismail Sabri ialah peka kepada keperluan rakyat, justeru rakyat perlu bekerjasama menyuarakan keperluan mendesak mereka, khususnya ketika pascapandemik.

Era pasca pandemik merupakan masa dan peluang terbaik untuk menggubal tetapan semula negara.

Datuk Seri Nazir Razak, anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak, menggesa agar sistem yang dilaksanakan oleh Allahyarham bapanya itu ditentu ukur semula.

“Yang kita perlukan ialah tetapan semula negara, baik pulih secara menyeluruh demokrasi, institusi dan sosioekonomi kita.

“Ini bukan kali pertama. Kita pernah lakukan perkara sama selepas peristiwa 13 Mei 1969 apabila sistem Westminster yang kita warisi tumbang pada pilihan raya umum ketiga.  

“Pihak yang terlibat dalam membuat tetapan semula itu percaya sistem tersebut boleh berjaya namun tidak akan bertahan untuk selama-lamanya, sistem berkenaan perlu ditambah baik, mungkin perlu diset semula sekali lagi.

“Malah, mereka menetapkan had masa 20 tahun bagi DEB (Dasar Ekonomi Baharu),” kata Nazir.  

“Pada 1990, DEB dinamakan semula namun dilanjutkan dan sistem selebihnya pula diteruskan tanpa perubahan. Semakin lama keadaan itu berterusan, lagi teruk kesan sampingan negatif melunturkan kebaikan yang dihasilkan  oleh sistem tersebut,” tambah beliau.

“Masa telah berubah dan kita tidak harus meniru bulat-bulat apa yang kita lakukan pada 1970 ketika semuanya dipacu oleh Tun Razak sebagai ketua Majlis Gerakan Negara.

Hari ini kita perlukan satu proses yang jauh lebih konsultatif, inklusif dan kurang elitis.

Kita harus menggembleng agenda dalam nama majlis yang boleh kita namakan sebagai Better Malaysia Assembly (BMA),” katanya.

Penulis ruang dan penganalisis dasar awam Dr Lim Teck Gee berkata pada 1988, Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) diwujudkan bagi menggubal dasar ekonomi selepas 1990 untuk menggantikan DEB yang jangka hayat 20 tahunnya hampir tamat.

Beliau berkata syor-syor ‘di luar kotak’ tentang cara menggerakkan Malaysia ke era pasca-DEB dalam ekonomi dan juga sektor penting bukan ekonomi serta tadbir urus menjadikan laporan itu sesuatu yang mesti dibaca dan dirujuk oleh sesiapa yang berpotensi dilantik sebagai ahli majlis kebangsaan yang diwujudkan bagi menetapkan semula hala tuju pembangunan negara. – Bernama