Masak nasi beriani untuk Perdana Menteri

IPOH – Nasi beriani kambing, kuah dal dan ayam varuval adalah antara menu yang dijanjikan akan dimasak oleh pasangan YouTuber ‘Sugu Pavithra’ jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumah mereka.

S. Pavithra, 28, berkata menu itu dipilih kerana nasi beriani merupakan antara sajian istimewa lebih-lebih lagi jika dimasak bersama kambing khas untuk tetamu istimewa.

Wanita itu berkata ayam varuval adalah antara masakan popular masyarakat India dan ia merupakan ayam yang digoreng garing sebelum dimasak dengan bahan-bahan tertentu untuk kuah kering.

“Jika Perdana Menteri datang ke rumah saya, itulah yang saya akan masak walaupun agak mudah dan ringkas, tetapi rasanya sangat lazat,” katanya ketika ditemui di Menglembu.

Menurut isteri kepada pekerja ladang, M. Sugu, 28, mereka sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri akan menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

“Kenapa kami, memang tidak percaya kerana kami hanya orang biasa sahaja?” soal Pavithra yang seolah-olah tidak percaya namanya dan suami akan kedengaran di kaca televisyen dan radio.

Menghargai keprihatinan Perdana Menteri kepada mereka, Pavithra berkata mereka akan meningkatkan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan, seterusnya memperbaiki kehidupan.

“Kalau ada kemampuan, kami nak buka kedai makan seperti mana saranan Perdana Menteri,” kata ibu kepada dua anak itu.

Perdana Menteri Malaysia semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), berkata mendoakan agar Sugu dan Pavithra dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan satu hari nanti.

“Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka,” kata Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang telah memberikan beberapa hadiah kepada suami isteri itu termasuk tripod pada bulan lalu.

Pada 8 Mei, Bernama menyiarkan laporan berita mengenai YouTuber ‘Sugu Pavithra’ yang berjaya menambat hari rakyat pelbagai kaum kerana memuat naik video masakan dalam bahasa Melayu walaupun mereka berbangsa India. – Bernama

YouTuber Masakan, S.Pavithra (kiri) bersama suaminya M.Sugu teruja selepas melihat video Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung. – Bernama