Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Masakan ‘air tangan’ ibu tiada bandingan

    Oleh Hj Adhwa Firdaus Haji Hassim

    Ketika menyebut tentang makanan, pasti terlintas di fikiran kita pelbagai hidangan yang menyelerakan tidak kira sama ada masakan ala Asia, Barat atau Timur Tengah mahupun yang pedas, manis, berkuah, berempah dan sebagainya.

    Namun apa yang penting bagi seseorang, hidangan itu enak dan mengenyangkan, bak rangkap pantun ‘Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati’. Memastikan enaknya sesuatu hidangan atau masakan terpulang kepada cita rasa setiap individu kerana pasti berlakunya percanggahan dalam menentukan tahap kelazatannya.

    Walau bagaimanapun, seenak-enak makanan luar yang terdapat di restoran, gerai makan dan hotel lima bintang sekalipun masakan ibu tetap terenak dan nombor satu meskipun makanan itu hanya telur goreng namun kenikmatan ketika memakannya jauh berbeza. Justeru, kenapa masakan ibu ini tidak boleh ditandingi mana-mana cef di dunia ini?

    Keberkatan ‘air tangan’ seorang ibu

    Seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya andai terpisah jauh atau terpaksa merantau.

    Keajaiban masakan ibu ini boleh dikatakan disebabkan ‘air tangan’ mereka ketika menyediakan masakan untuk anak-anaknya, yang mana curahan kasih sayang, keikhlasan dan kesungguhan hati seorang ibu yang memasaknya. Malah hanya ibu yang lebih mengetahui kegemaran setiap seorang anaknya.

    Walaupun para ibu menyediakan hidangan yang ringkas untuk dinikmati seisi keluarga namun ia dapat menjadi makanan yang sangat dirindui suatu hari nanti.
    Seenak-enak makanan luar yang terdapat di restoran, gerai makan dan hotel lima bintang sekalipun masakan ibu tetap terenak dan nombor satu meskipun makanan itu hanya telur goreng – Gambar hiasan

    Justeru, dari ketulusan hati insan bergelar ibu itulah boleh dikatakan sebagai dorongan untuk mencurahkan kasih sayangnya kepada anak-anak kesayangan mereka tanpa mengharapkan sebarang ganjaran atau balasan.

    Di samping itu juga, keistimewaan masakan ibu ini adalah lahir dari hati naluri ibu yang sentiasa memberikan sesuatu yang terbaik untuk anak-anaknya seperti menjamin kebersihan, kesucian dan khasiatnya.

    Penulis sendiri suka membantu ibu memasak di dapur dan sering mendapati beliau tidak lekang daripada menyebut kalimah Allah dan zikir-zikir yang dialunkan semasa menyediakan makanan.

    Ketika ditanya kenapa memasak diiringi dengan zikirullah, beliau menyatakan ini adalah salah satu rahsia ramuan masakan yang terbaik kerana demi mendapatkan keberkatan dan lindungan daripada Allah yang memberi kita rezeki. Malah terdapat banyak zikir dan doa yang diajarkan dalam Islam untuk diamalkan oleh para ibu ketika menyediakan makanan untuk seisi keluarga.

    Warisi masakan ibu selagi sempat

    Kehadiran insan-insan yang tersayang terutama sekali ibu bapa hanya seketika di dunia ini. Namun, meskipun merasa kerinduan yang mendalam dengan mengenang memori indah kita bersama mereka setentunya dapat mengubatinya.

    Salah satu ubat kerinduan dan mengenang ibu bapa adalah daripada masakan yang mereka gemar buat semasa mereka masih ada.

    Hal ini kerana dari masakan itu kita merasa kenikmatannya yang belum tentu ada yang menyamainya melainkan mewarisi sendiri dari mereka.

    Mungkin generasi pada masa kini, ada yang tidak gemar menjejakkan kaki ke dapur atas sebab-sebab tertentu seperti kononnya tidak memiliki kemahiran memasak.

    Sebenarnya sesiapa saja pada awalnya tidak pandai memasak tetapi dengan hati yang bersungguh-sungguh dan rasa ingin belajar pasti lama-kelamaan akan mahir dalam memasak.

    Dalam kita mempelajari cara-cara memasak ini secara tidak langsung kita akan dapat mewarisi ilmu tersebut dari ibu kita. Jika mereka sudah tiada, biarlah masakan yang kita warisi itu jadi kenangan meskipun rasanya tidak setanding dengan masakan seorang ibu dan tidak menjadi mustahil kita juga akan mewariskannya pada anak-anak kita kelak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...