SEKALI-SEKALA tidak salah jika anda menikmati makanan mewah di hotel.
Namun adakalanya, anda juga secara tiba-tiba memiliki selera untuk menikmati masakan Melayu yang memang sudah sebati dengan kehidupan seharian.
Hakikatnya, menu masakan Melayu ini begitu ringkas untuk disediakan malah anda sendiri juga boleh mencubanya sendiri di rumah.
Berikut adalah dikongsikan beberapa resipi menu masakan Melayu yang cukup mudah untuk disediakan. Selamat mencuba!
Ikan Keli Masak Cekur
Bahan-bahan:
1kg ikan keli yang dibersihkan.
20 gram bawang putih
50 gram cekur
500 gram santan
100 gram cili padi
Sedikit air
Garam dan gula secukupnya
Minyak masak secukupnya
Cara menyediakan:
Panaskan minyak ikan keli digoreng terlebih dahulu. Angkat tos dan ketepikan. Kisar cili padi bersama cekur dan bawang putih. Ketepikan. Masukkan santan yang dicampurkan dengan sedikit air ke dalam kuali. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam kuali yang berisi santan. Kacau sebati. Masakkan sehingga cili betul-betul masak. Letakkan ikan keli yang telah digoreng tadi di dalam pinggan. Tuangkan kuah ke atas ikan. Sedia untuk dihidangkan.
Udang Galah Masak Lemak Cili Api
Bahan-bahan:
1kg udang galah dibersihkan
30 gram cili padi
1kg santan
100 gram kunyit hidup
20 gram bawang putih
2 batang serai yang diketuk
3 keping asam keping
1 helai daun kunyit yang disimpul
3-4 tangkai kacang panjang yang dipotong dua inci.
Garam dan gula secukupnya.
Cara menyediakan:
Kisar cili padi, kunyit hidup dan bawang putih. Ketepikan. Masukkan serai, bahan kisar dan sebahagian santan ke dalam periuk. Masak sehingga cili betul-betul masak. Kemudian masukkan udang galah, daun kunyit, asam keping serta lebihan santan. Setelah itu masukkan potongan kacang panjang. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan ia sedia untuk dihidangkan.
Bingka Ubi
Bahan-bahan:
2kg ubi kayu yang disagat.
1½ cawan air gula merah
1kg santan
1 biji telur
1 cawan tepung ubi
Sedikit pewarna kuning
Sedikit mentega
Garam secukup rasa
Cara menyediakan:
Campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar dan kacau sebati. Sediakan loyang dan sapukan mentega pada loyang. Kemudian tuang adunan tadi ke dalam loyang. Sapukan mentega di atas adunan. Kemudian bakar selama satu jam dengan suhu 200 darjah Celsius. Kemudian bakar kali kedua selama 30 minit dengan 150 darjah Celsius. Keluarkan dan ia sedia untuk dihidangkan.