KUALA NERUS, 9 OGOS – Terengganu FC (TFC) dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan utama ekoran kecederaan beberapa tonggak utama pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Mizan Zainil Abidin, Gong Badak, di sini, malam esok.
Perkara itu disahkan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain, yang mengakui bahawa beberapa tonggak utamanya terpaksa direhatkan akibat masalah kesihatan dan kecederaan ketika beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC, Sabtu lalu.
“Persiapan kita pastilah sedikit terjejas kerana pemain utama seperti pemain sayap lincah, Mohd Faisal Abdul Halim, penyerang import, Kipre Tchetche, pemain tengah import, Manuel Ott dan Muhammad Faiz Mohd Nasir alami kecederaan serta demam.
“Oleh sebab itu kita terpaksa lakukan rombakan dan beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain skuad kedua untuk perlawanan menentang kelab Hari-mau Selatan, esok,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagaimanapun dalam masa yang sama, beliau berasa agak lega apabila penyerang import kelahiran Liberia, Kpah Sherman sudah pulih daripada kecederaan dan dapat kembali beraksi malam esok. – Bernama