Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Masalah kesihatan bukan alasan hukuman diringankan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Masalah kesihatan bukanlah satu alasan agar hukuman dapat diringankan, tekan Mahkamah Tinggi pada Rabu lalu setelah menolak rayuan seorang lelaki yang meminta agar hukumannya dipertimbangkan atas sebab pernah menjalani pembedahan kanser.

    Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong menekankan keputusannya itu berdasarkan tiada bukti status perubatan perayu yang menyatakan dia menghidap penyakit yang membawa maut.

    Pada 4 Disember 2021, Shahrul Nizam bin Haji Mohiddin dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima kali sebatan, tiga tahun penjara dan denda $1,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

    Mahkamah Majistret kemudiannya memerintahkan perayu dikecualikan daripada hukuman sebat kerana dia berusia lebih 51 tahun.

    Keputusan akhir hukuman itu ialah penjara lima tahun dua bulan.

    Ia adalah hukuman bagi kesalahan memiliki dadah methylamphetamine kerana mengedar, mengambil dadah dan memiliki peralatan untuk mengambil dadah.

    Dia ditangkap di rumahnya di Kampung Meragang oleh sepasukan pegawai Biro Kawalan Narkotik pada 22 Julai 2016, bersama dadah, peralatan mengandungi kesan dadah dan sampel air kencingnya kemudiannya didapati positif pengambilan dadah.

    Perayu merayu terhadap hukuman itu yang memetik masalah kesihatannya susulan pembedahan pada 2010 kerana kanser perutnya.

    Sebelum Ketua Hakim Negara meneliti rayuan itu, beliau mengulas bahawa Mahkamah Majistret sepatutnya tidak menjatuhkan hukuman sebat pada mulanya, bagi mencerminkan pengecualian.

    Ketua Hakim Negara kemudian memutuskan untuk menolak rayuan dengan menyatakan bahawa tidak ada keadaan luar biasa dalam keadaan perayu dan tidak mewajarkan hukuman yang lebih ringan.

    Mahkamah Tinggi juga berkata denda yang dikenakan adalah dalam lingkungan biasa. Pendakwa Atiyyah Abas mewakili pendakwa raya sebagai responden.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...