Masalah kesihatan mental meningkat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Kesan COVID-19 terhadap kesihatan mental amat ketara di Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang dilihat daripada jumlah panggilan yang diterima melalui Talian Harapan 145 yang telah meningkat dua ke tiga kali ganda semenjak bermulanya gelombang kedua COVID-19.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) mengongsikan, sebanyak 1,058 panggilan telah dicatatkan dari Ogos sehingga September lalu yang mana terdapat peningkatan daripada jenis panggilan bantuan nasihat kesihatan mental termasuk yang berkaitan dengan COVID-19.

Yang Berhormat Dato mengongsikan perangkaan itu dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, hari ini.

“Alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam sangat beruntung dan bersyukur kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan liputan kesihatan sejagat (universal health coverage) bagi rakyat dan penduduk, termasuk perkhidmatan kesihatan mental yang sedia ada di setiap daerah.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat halangan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental dan ini tidak semestinya disebabkan oleh kekurangan ketersediaan atau kemampuan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut beliau lagi, stigma terhadap isu masalah kesihatan mental adalah salah satu peng-halang utama untuk mendapatkan rawatan atau bantuan.

“Mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental masih dianggap sebagai ‘lemah’ atau ‘berbeza’,” katanya.

Yang Berhormat Dato kemudiannya berkata bahawa terdapat keperluan di peringkat global untuk mengubah cara pemikiran seperti ini kerana masalah kesihatan mental boleh mempe-ngaruhi sesiapa sahaja, tidak kira latar belakang individu.

Menurut beliau, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan telah melakukan beberapa aktiviti promosi kesihatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan menggalakkan perbualan positif mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental.

“Memandangkan pendekatan ‘whole-of-nation’ diperlukan, adalah sangat menggalakkan untuk melihat penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi lain yang berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kesihatan mental di negara ini,” tambahnya.

Pada keadaan semasa negara mengalami gelombang kedua jangkitan wabak COVID-19 yang mencabar ini, Yang Berhormat Dato menekankan akan kepentingan menjaga kesihatan mental diri sendiri dan orang yang kita sayangi.

“Bagi mereka yang telah melakukan tanggungjawab dalam usaha untuk menghentikan penularan COVID-19 dengan kekal atau teranah di rumah, ini adalah peluang yang sangat baik untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama orang-orang yang tersayang di rumah.

“Jadualkan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat untuk dilakukan bersama-sama di rumah seperti melakukan senaman ringan dan aktiviti silaturahim,” ujar beliau sambil menambah ia juga merupakan peluang yang baik untuk mengetahui bagaimana kita saling menangani situasi yang mencabar ketika ini serta memberikan sokongan terhadap satu sama lain.

Mengulas mengenai tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kesihatan Mental dalam Dunia yang Tidak Setara’, beliau berkata bahawa ia menekankan kepentingan dalam memastikan kesihatan mental yang baik dan akses kepada penjagaan dan sokongan untuk semua dalam masyarakat.

Malangnya, tekan beliau, kebanyakan orang yang terkesan disebabkan ketidaksamaan kerana faktor seperti usia, jantina, status sosioekonomi, tahap pendidikan, keupayaan yang berbeza, serta perbezaan dalam kesihatan mental dan fizikal.

“Selain daripada kesan fizikal dan kewangan yang nyata akibat pandemik COVID-19, ia juga terbukti bahawa terdapat kesan kesihatan mental yang meluas,” tekannya.

Beliau menambah, salah satu sebabnya adalah ketidaksamaan yang lebih ketara pada masa yang mencabar seperti keadaan semasa global.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental menghadapi sejumlah ketidaksamaan dalam menjalani kehidupan sehari-hari, termasuk kesukaran untuk mendapatkan bantuan dan sokongan, ujarnya lagi.

Di hujung perutusannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan kepada orang ramai bahawa Talian Harapan 145 disediakan sebagai talian bantuan krisis kesihatan mental kebangsaan dan juga sebagai sumber untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.