DALOA, Ivory Coast – Mereka mempunyai impian: untuk ‘menyeberangi perairan’ Lautan Mediterranean dan menuju Eldorado di Eropah.
Dan ya, mereka mengakui, mungkin terdapat risiko, namun tiada yang tidak dapat diatasi kecuali dengan sedikit keberanian.
“Saya sangat takut. Saya bersedia untuk menuju ke Itali, menyeberangi perairan. Saya akan melakukannya pada malam ini dan saya tidak akan membawa sebarang beg,” kata Marcel Zouh, seorang lelaki berusia 30 tahun.
Berdiri di kalangan pemuda di stesen bas di Daloa, Zouh tidak merasa malu kenapa dia perlu mencuba nasibnya di Eropah.
“Tiada apa-apa di sini, tiada pekerjaan, begitu juga pekerjaan sebagai seorang pemandu,” katanya, sambil menunjukkan lesen pemandu basnya. “Saya bersedia untuk mengambil risiko dengan hidup saya, jika tidak berjaya, itu ketentuan Tuhan.”

Adama Soumahoro, seorang kontraktor pengangkutan muda, menambah: “Tidak ada harapan untuk orang muda berada di sini. Kami sanggup menjual kehidupan kami untuk menyeberangi perairan itu.”
Ivory Coast merupakan sumber pendatang keempat terbesar yang mahu memasuki Eropah, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB (IOM), kemasukan secara haram yang mana telah menyebebkan kekecohan politik di negara-negara Eropah.
Pada tahun 2017, sebanyak 8,753 warga Ivory telah tiba di Itali, yang mana 1,263 adalah wanita dan 1,474 kanak-kanak tanpa penjaga atau pengiring, menurut sebuah NGO Itali yang dipanggil CEVI, untuk Pusat Sukarelawan Antarabangsa.
Namun, tidak ada kekurangan bukti tentang risiko yang menanti mereka, bahaya ditinggalkan oleh pedagang-pedagang haram yang berleluasa di Sahara, Niger. Begitu juga dipenjarakan atau dianiaya secara kejam di Libya atau lemas di Lautan Mediterranean.
Beribu-ribu pendatang telah mati atau hilang sejak tiga tahun lepas.
“Anda boleh bercakap besar ‘saya akan pergi’ selama mana yang anda mahu, namun mereka tidak tahu apa yang terjadi,” kata Ibrahim Doumbia, seorang tukang jahit berusia 31 tahun.
Pada tahun 2016, dia juga pergi Eropah. “Saya meninggalkan Daloa dengan harga 250,000 franc CFA (325 euro) menggunakan wang saku saya, di mana penyeludup meminta 900,000 francs.”
“Ketika kami pergi merentasi padang pasir, saya terlihat batu-batu tersusun menggunung tinggi, yang mana dikatakan sebagai tanah perkuburan. Saya diberitahu bahawa ini adalah kubur pendatang tanpa nama,” katanya.
“Ketika saya sampai Libya, di sana bermulanya satu penyeksaan. Saya telah dilontar ke penjara selama sembilan bulan.”
Doumbia berjaya pulang ke rumah dengan bantuan IOM. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, lebih daripada 3,500 warga Ivory Coast ‘yang dilanda kesusahan’ di Libya telah dipulangkan, menurut Issiaka Konate, yang mengetuai pejabat kerajaan untuk membantu warga Ivory Coast di luar negara.
“Saya tidak mendapat sebarang berita mengenai anak saya, Oumar Fofana, selama tiga tahun, di mana perbualan terakhir kami adalah melalui telefon pada tahun 2015, ketika dia hendak menaiki bot di Libya,” kata ibunya, Tenin Sanogo, memberitahu AFP sambil menangis.


“Saya telah membelanjakan lebih daripada satu juta franc CFA untuk tukang tilik nasib. Mereka mengesahkan bahawa dia masih hidup,” katanya, sambil menunjukkan gambar anak lelakinya itu.
Penulis warga Ivory Coast, Patricia Hourra, pengarang sebuah buku tentang eksploitasi seksual para pendatang wanita, mengatakan bahawa dari keseluruhan kaum wanita yang melakukan penghijrahan, sekurang-kurangnya satu dari empat daripada mereka ini akan dipaksa untuk melakukan seks sebagai pertukaran untuk perjalanan yang selamat atau bahkan untuk mendapatkan makanan.
“Kebanyakan wanita ini dipaksa menjadi perhambaan seks di rumah pelacuran atau rumah persendirian. Wanita-wanita ini mengalami trauma yang teruk dan walaupun mereka dapat keluar dari keadaan mereka, kehidupan mereka telah hancur,” katanya kepada AFP.
Dari segi luaran, mungkin ianya dilihat aneh di mana Ivory Coast mengalami ekonomi emigrasi ketika ekonominya berjalan lancar.
Negara ini adalah pengeksport utama koko, kopi dan getah dan ianya sendiri telah menarik pendatang-pendatang dari negara-negara miskin seperti Burkina Faso, Mali dan Guinea.
Sejak tahun 2011, negara itu telah menyaksikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang dengan purata 8 peratus setahun, angka yang mungkin kekal antara 7-7.5 peratus dalam beberapa tahun akan datang, menurut anggaran Bank Dunia.
Ini lebih baik berbanding dengan pertumbuhan penduduk Ivory Coast. Ia mempunyai 25 juta orang penduduk, jumlah yang meningkat naik pada 2.5 peratus setiap tahun.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi adalah tidak seimbang, terutamanya tertumpu di Abidjan dan di kebanyakan rantau gagal untuk menawarkan pekerjaan kepada golongan muda yang memasuki pasaran pekerjaan.
Di Daloa, hampir 400 kilometer dari bandar raya besar Ivory Coast, “tiada pekerjaan, tiada kilang yang mampu menyerap pengangguran,” kata Gervais N’Da, ahli ekonomi yang pakar dalam demografi.
Dengan suasana kehidupan yang begitu kelam ini, visi untuk ke Eropah semakin bersinar, di mana media sosial mampu menyemarakkan semangat.
“Salah seorang rakan anda pergi ke Itali dan mula menghantar butiran mengenai kejayaannya, sebuah kereta atau sebuah rumah sebagai contoh, di media sosial. Tidak ada yang akan dapat menghalang anda daripada melakukan perkara yang sama,” kata Cherif Aziz Haidara, seorang pekerja muda di Daloa. – AFP