Masalah penglihatan bukan penghalang untuk raih kejayaan

LISBON – Dalam beberapa cara, kata bekas peninju warga Portugis, Jorge Pina, kehilangan kebanyakan penglihatannya telah menjadikan beliau pada masa ini. “Saya tidak kehilangan pandangan saya, saya hanya melihat sesebuah perkara dengan cara yang berbeza,” katanya.

Terpaksa meninggalkan impiannya untuk mendapatkan gelaran dunianya, Pina menghabiskan masanya membantu kanak-kanak bermasalah yang berada di kawasan kejiranan yang begitu sukar, membantu mereka ke jalan yang betul dengan menyalurkan tenaga mereka pada sukan.

“Sebelum ini, saya adalah seorang yang mementingkan diri sendiri dan bermasalah di kawasan kejiranan yang begitu sukar,” katanya. “Tetapi sekarang saya mahu membantu golongan muda, mencapai kejayaan mengharungi kehidupan.”

Masalah penglihatannya bermula semasa dalam latihan pada tahun 2004 dan akhirnya beliau menamatkan kerjaya tinjunya. Operasi dua tahun kemudian gagal untuk memperbaiki retinanya yang sudah terpisah dan kadar penglihatannya hanya tinggal 10 peratus sahaja.

Tetapi sebelum dia pulih sepenuhnya, Pina bertanya doktornya sama ada dia boleh berlari.

Jorge Pina mengajar kanak-kanak autistik mengenai tinju di sekolah Olivais di Lisbon. – AFP

Jorge Pina mengajar kanak-kanak yang berada di yayasannya (Fundacao Jorge Pina) bertinju di sekolah Olivais di Lisbon. – AFP
”Sebelum ini, saya adalah seorang yang mementingkan diri sendiri dan bermasalah di kawasan kejiranan yang begitu sukar,” kata Jorge Pina. “Tetapi sekarang saya mahu membantu golongan muda, mencapai kejayaan mengharungi kehidupan.” – AFP
Jorge Pina melakukan larian semasa sesi latihannya di stadium universiti di Lisbon. – AFP

“Apabila saya kehilangan penglihatan, saya memerlukan sesuatu yang positif, walaupun mempunyai keterbatasan,” katanya yang masih penat selepas melakukan latihan lariannya.

“Saya memilih apa yang terbaik untuk saya iaitu berlari dan berkongsi,” katanya.

Larian telah membawanya ke tiga kejohanan Paralimpik dan dia juga mensasarkan untuk beraksi di pentas Tokyo pada tahun 2020. Hasil daripada perkongsian tersebut, dia telah menubuhkan kedai di Bensaude, salah satu kawasan kejiranan Lisbon, tempat di mana dia mengendalikan persatuan sukannya sendiri untuk kanak-kanak tempatan.

Di ruang serba kekurangan, bekas pesaing ‘middleweight’ itu terlihat memanaskan badannya, berada di hadapan cermin penuh sebelum memanggil kanak-kanak mengikuti arahan yang diberikan.

“Dengar kanak-kanak, sekarang atau saya keluar!” tegasnya.

Pina yang berusia 42 tahun, tinggi, tegap dan berotot masih mengekalkan bentuk badannya dan kanak-kanak, kebanyakannya dari komuniti gipsi tempatan, mula diam dan mendengar arahan yang diberikan.

Di mana sahaja dia pergi, kanak-kanak akan mendekatkan diri mereka kepada-nya, sama ada mereka memegang tangan Pina untuk membantu arah tujuannya atau hanya memeluknya.

“Jorge mengajar saya mengenai disiplin dan bagaimana menyalurkan tenaga saya,” kata seorang Xavier Pereira, berusia 13 tahun, selepas sesi ‘punchbag’ dan beberapa kerja pad.

“Sebelum saya berjumpa dengannya, saya selalu berdepan masalah di sekolah dan saya jarang ke mana-mana tempat,” jelasnya. Pina telah menjalankan sesi sedemikian sejak 2011, juga bersama dengan kanak-kanak autistik.

“Kehadiran Jorge di sini sangat membantu kami,” kata pekerja sosial kanan Vanessa Madeira. “Anak-anak kami mempelajari nilai-nilai dan cara hidup sebagai bermasyarakat dan itu telah membina kepercayaan bersama dengan ibu bapa.”

Kejayaan daripada usaha yang dijalankannya itu telah meyakinkan pihak berkuasa bandar raya untuk kembali kepada pangkalan baharu untuk persatuannya dengan mendapatkan pendanaan sebanyak 60 peratus.

Bangunan Persatuan Jorge Pina yang baharu akan menyediakan 1,700 meter persegi ruangan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan masyarakat setempat.

Sebahagian besarnya adalah untuk membantu meningkatkan dana bagi pusat itu. Pina terus berlari dengan bantuan rakan sepasukannya, Helio Fumo.

Tetapi dia juga harus menetapkan kecergasannya bagi persiapan untuk Sukan Paralimpik seterusnya, agar memastikan dia boleh mencapai masa kelayakan kejohanan. Dan untuk itu, dia bangun setiap pagi untuk latihan lariannya.

Di pangsapurinya kelihatan deretan trofi-trofinya yang tersusun di rak, minuman tenaga, makanan tambahan, buah-buahan dan bar bijirin yang mampu mengisi tenaganya bagi cabaran sukan seterusnya.

Rakan pasangannya, Raquel Pedro, sudah menjadi tulang belakangnya selama 10 tahun. Dia memastikan agar Pina mempunyai segala apa yang diperlukannya untuk mengejar impiannya.

Pada usia 42 tahun, Pina masih dalam bentuk fizikal yang mantap dan mampu memberi inspirasi kepada semua orang.

“Sebagai seorang peninju, saya melihat orang lain sebagai musuh. Kini, saya adalah musuh saya sendiri dan orang-orang yang berada di sekeliling saya memberi saya kekuatan untuk mencabar diri saya sendiri. – AFP