PUTRAJAYA, 10 MAC – Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) menandatangani kontrak dengan Laszlo Toth bagi mendapatkan khidmat jurulatih sukan kanu dari Hungary itu dalam usaha meningkatkan prestasi atlet kebangsaan menjelang temasya Sukan SEA Hanoi pada Mei.
Kontrak yang ditandatangani semalam dengan Laszlo yang berusia 54 tahun dan pernah membantu China meraih enam emas Olimpik itu juga adalah sebagai usaha negara untuk mengintai kelayakan atlet kanu kebangsaan ke Olimpik Paris 2024.
Presiden MASCA Datuk Michael Wong Meng San berkata selain berjaya membantu China meraih masing-masing tiga pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Athens 2004, jurulatih jemputan itu juga mempunyai rekod cemerlang membantu negara tersebut merangkul tujuh pingat emas di Kejohanan Kanu Asia. – Bernama