Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 5 Mei – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan untuk menekankan kepentingan menderma darah dan manfaat kesihatannya, Mashhor General Contractor Sdn Bhd telah mengadakan kempen menderma darah di ibu pejabatnya di Jalan Pangsa, Seria, baru-baru ini.
Diadakan untuk menambah simpanan tabung darah, kempen dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Makmal, Tabung Darah dari Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC).
Seramai 33 orang kakitangan syarikat telah mendaftar dalam kempen berkenaan tetapi hanya 28 orang yang dapat menderma darah.
Dengan membawakan tema ‘Bleed for a Cause’, kempen tersebut dijalankan sebagai sebahagian daripada program tahunan Mashhor untuk meningkatkan kesedaran kakitangan syarikat mengenai menderma darah yang dianggap sebagai salah satu sumbangan paling mulia yang boleh membantu menyelamatkan nyawa.
Selain itu, kempen tersebut juga merupakan satu peluang untuk menggalakkan kakitangan untuk menjadi lebih berani dan bertanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya apabila menyertai acara-acara amal sebagai sebahagian daripada objektif kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) korporat mereka.
Pada masa yang sama, ia juga mempromosikan Program Gaya Hidup Sihat tahunan mereka dalam membantu menanamkan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.
Sebagai penghargaan, Jururawat Kanan Jabatan Makmal, Tabung Darah JPMC, Romeo Tabios telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus HSSE Korporat syarikat itu, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif yang mengetuai kempen berkenaan.