LIVERPOOL, 17 JAN – Jurgen Klopp menegaskan bahawa Liverpool tidak akan menyerah kalah dalam mengejar Manchester City di tempat teratas Liga Perdana selepas berjaya mengalahkan Brentford 3-0 kelmarin.
Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino berjaya memperoleh jaringan gol ketika The Reds bermain tanpa kelibat Mohamed Salah dan Sadio Mane yang sedang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika.
Kemenangan itu telah menaikkan pasukan Klopp di tempat kedua, dengan jurang 11 mata berbanding pendahulu, tetapi mereka masih lagi mempunyai satu perlawanan dalam genggaman menentang City.
“Kami tidak perlu meyakinkan orang luar kelab. Pemain yang bersama kami, mereka hanya ingin menikmatinya,” kata Klopp.
“Ini bukanlah situasi untuk bercakap tentang mengejar gelaran juara, 11 mata dengan satu perlawanan dalam tangan. Dalam dunia yang normal (City menang liga ini). Tetapi apakah erti normal pada hari ini?”
Liverpool gagal mengambil kesempatan daripada pemain tambahan selama lebih sejam ketika perlawanan separuh akhir liga pada Khamis lalu, perlawanan pertama menentang Arsenal berakhir seri 0-0, mencetuskan kebimbangan bagaimana mereka akan menghadapi baki bulan ini tanpa dua sumber gol utama mereka.
Dan Klopp berasa gembira untuk mendiamkan ‘cakap-cakap’ tentang ketiadaan Salah dan Mane.
“Kami boleh hentikan gosip umum. Kami tahu ada yang tidak kena semasa menentang Arsenal,” tambah Klopp.
“Walaupun beberapa pemain bertaraf dunia tidak berada di sini, kami tahu itu. Kami juga tahu kami tidak perlu menekankan sangat perkara itu.” – AFP