KUALA LUMPUR, 26 MEI – Walaupun mempamerkan aksi mengagumkan dengan menggondol dua gelaran pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 Sabtu lepas, masih ada banyak ruang untuk meningkatkan prestasi pemain muda Malaysia.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata pemain muda ini tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kejayaan yang dilakar pada kejohanan badminton di Dras Centre, Maribor.
Bagaimanapun, Choong Hann berkata kredit harus diberikan kepada mereka kerana berjaya mengotakan janji dengan membawa pulang gelaran di Slovenia.
“Saya lebih berpuas hati dengan semangat mereka yang membuktikan mereka boleh mencapai kejayaan dalam kejohanan itu.
“Saya percaya dengan kualiti yang dimiliki semasa latihan dan ada daripada mereka yang membuktikan bahawa mereka boleh meraih kejuaraan dalam kejohanan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei, kedua-duanya berusia 20 tahun, meraih gelaran pertama dalam kejohanan itu apabila menewaskan pasangan Indonesia Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 32 minit.
Ia adalah kejuaraan antarabangsa kedua bagi pasangan yang menghuni ranking ke-263 dunia itu setelah memenangi Terbuka Poland dalam penampilan sulung mereka, Mac lepas.
Low Yeen Yuan-Valeree Siow melakar kejayaan berganda buat Malaysia apabila berjaya merangkul kejuaraan beregu wanita.
Pasangan bukan pilihan berusia 19 tahun itu, berjaya mengejutkan pemain pilihan ketiga yang merupakan ranking dunia ke-133, Isabella Nielsen-Marie Steffensen dari Denmark 21-11, 21-15 untuk mengecap kejuaraan antarabangsa pertama mereka.- Bernama