Masih ada yang ambil ringan langkah pengawalan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Masih ramai yang mengambil ringan terhadap langkah-langkah pengawalan penularan wabak COVID-19 terutama kawasan yang menjadi tumpuan pada hari Jumaat dan Ahad seperti lokasi penjualan ikan.

Beberapa petugas di salah satu lokasi penjualan ikan di sini, ketika ditemu bual, menjelaskan bahawa lokasi berkenaan akan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada Jumaat dan Ahad.

Seperti biasa, pengunjung yang datang hendaklah memeriksa suhu badan dan menunjukkan kod sebelum memasuki gerai berkenaan.

Menurut salah seorang petugas, dalam memantau dan memastikan orang ramai yang memasuki gerai berkenaan, ada juga pengunjung yang tidak mengambil serius perkara tersebut.

Dalam usaha yang dilaksanakan untuk memastikan semua yang ada di sana membuat penjarakan fizikal, masih ada juga pengunjung yang tidak mengimbas kod QR sebelum memasuki gerai berkenaan.

Pemeriksaan sebelum memasuki gerai berkenaan.
Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai pada hari Jumaat dan Ahad.

“Usaha memberi teguran kepada pengunjung yang tidak mematuhi SOP itu telah mendapat rasa kurang puas hati dan ada juga teguran tersebut telah diabaikan,” jelasnya.

Manakala itu, salah seorang pengunjung gerai, Dayang Nikmatul binti Haji Aspar pula menyatakan harapan supaya langkah prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di lokasi yang menjadi tumpuan itu dapat ditingkatkan lagi, mungkin dari segi
mengehadkan jumlah orang bagi setiap lorong tersebut.

“Mungkin dengan cara seperti ini akan sedikit sebanyak dapat membantu membuat penjarakan fizikal antara satu dengan yang lain.

“Dalam mengawal penularan COVID-19 ini, semua perlu memainkan peranan penting dengan mematuhi segala nasihat dan langkah SOP dari Kementerian Kesihatan,” jelasnya.