Masih ada yang kahwin bawah umur 18 – Norazlinah

RANAU, 9 JULAI – Masih terdapat segelintir masyarakat di negeri ini yang mengahwinkan anak mereka yang masih di bawah umur 18 tahun, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Norazlinah Arif.

Beliau berkata meskipun undang-undang memberikan peruntukan perkahwinan, namun terdapat sesetengah masyarakat melaksanakan perkahwinan tanpa melihat batasan had umur seseorang kanak-kanak.

Katanya perkahwinan antara lelaki dan perempuan di bawah 18 tahun, memberi cabaran serta tekanan psikologi dan fizikal yang merangkumi pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembuat keputusan dan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Keadaan seperti ini boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial dan moral kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat meneruskan pendidikan. Tidak mempunyai sumber kewangan, memikul beban kehidupan berkeluarga seawal usia di bawah umur.

“Selain kesan kepada bayi yang dilahirkan dari segi penjagaan, kebajikan dan lain-lain,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut di sini, hari ini. – Bernama