Masih ada yang tidak patuhi arahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Nasihat berulang untuk menjaga jarak sosial, memakai penutup mulut dan hidung kepada para penjaja, kakitangan restoran dan penyedia makanan di negara ini sudah pun diberigakan bukan sahaja oleh pihak berkenaan, malahan melalui pelbagai medium seperti media cetak, platform media sosial dan televisyen.

Namun masih terdapat segelintir penjaja di gerai-gerai yang tidak mematuhi peraturan atau prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha mengelak penularan wabak COVID-19.

Pemerhatian ini adalah berdasarkan beberapa tinjauan wartawan sendiri dan temu bual dengan beberapa orang yang mengunjungi tempat-tempat seperti gerai-gerai di Beribi, gerai menjual nasi katok dan beberapa lagi.

Manakala sebilangan tempat yang menyediakan tempat makan dan minum juga tidak mematuhi penjarakan sosial dan mengakibatkan perkumpulan di sebuah meja terlalu ramai pada satu-satu masa.

Salah seorang pengunjung ke gerai di Beribi, Haji Abdulrahman bin Sulaiman, 60, ketika ditemui wartawan mengatakan, “Walaupun Negara Brunei Darussalam pada masa ini tidak merekodkan jangkitan selama lebih daripada 28 hari (tempoh pengurangan sekatan), kita tidak semestinya merasa selesa dan leka. Ini kerana dunia masih lagi dalam ancaman penularan wabak COVID-19 dan negara tidak terkecuali.”

Penjaja dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung ketika menyediakan makanan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Menurutnya lagi, ada sebahagian gerai-gerai kecil di Beribi yang penjajanya tidak memakai penutup mulut dan hidung ketika menyediakan makanan manakala pelanggan yang datang juga tidak mengamalkan penjarakan sosial apabila tempat-tempat makan dan minum dipenuhi pelanggan sehingga sebuah meja kecil diduduki oleh empat hingga lima orang pelanggan pada satu masa.

“Walaupun kerajaan sudah mewarwarkan penjarakan fizikal, tetapi pelaksanaannya agak bermasalah. Sehubungan itu, orang ramai perlu bekerjasama dalam mencapai matlamat kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 agar rakyat dan penduduk negara ini selamat,” tambahnya.

“Jika tiada kerjasama daripada orang ramai, usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjadi sia-sia,” ujarnya.

Manakala seorang lagi pengunjung, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Suryani, mengatakan beliau pada mulanya teruja kerana akhirnya berpeluang ke gerai dan restoran selepas beberapa minggu dibuka, namun setelah berjalan seketika di sekitar gerai di Gadong, beliau menyedari para penjaja tidak mematuhi syarat terutamanya dalam penggunaan penutup mulut dan hidung.

“Agak mendukacitakan setelah berulang-ulang masalah sungkup muka (penutup mulut dan hidung) masih belum dipatuhi oleh pengendali makanan dan minuman, walhal ia tidak memakan banyak belanja untuk membelinya, apa lagi ia merupakan sesuatu yang wajib dipatuhi ketika negara cuba mengawal pandemik ini,” luahnya.

Haji Roslan, salah seorang lagi pengunjung gerai, menitipkan nasihat agar peniaga dan pekerja mereka bersama-sama memainkan peranan menitikberatkan kebersihan diri dan premis perniagaan mereka seperti sering mencuci tangan, menggunakan penutup mulut dan hidung yang menurutnya menampakkan lagi tahap keprofesionalan dan tanggungjawab mereka.

“Kita sewajarnya menyedari bahaya dan implikasi yang timbul dalam masa hampir enam bulan kerana wabak itu. Untuk itu, setiap individu perlu bekerjasama, termasuk pengendali restoran dan gerai bagi membendung penularan wabak,” tambahnya.

Tinjauan wartawan Media Permata ke beberapa buah premis dan gerai-gerai makanan, mendapati, tiada petak penjarakan sosial dibuat dan pelanggan juga tidak mengamalkannya, manakala penggunaan penutup mulut dan hidung juga tidak digunakan dan, apabila ditanya, pengendali gerai hanya tersenyum.