Masih awal bagi suntikan penggalak – WHO

GENEVA, 21 JUN – Pihak berkuasa kesihatan merasakan masih terlalu awal bagi keperluan suntikan ‘booster’ vaksin COVID-19 untuk mengekang penularan varian baharu.

Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan, berkata perkara itu masih dalam kajian walaupun beberapa negara dan institusi farmaseutikal sudah menyiapkan suntikan booster itu.

“Kami tiada maklumat yang diperlukan bagi membuat usul sama ada suntikan booster diperlukan, malah sains penggunaan suntikan tersebut masih lagi berkembang.

“Justeru, masih terlalu awal untuk mengusulkannya sedang individu berisiko tinggi di kebanyakan negara belum lagi tamat proses suntikan pertama vaksin,” katanya dalam satu wawancara Zoom bersama agensi berita Jumaat lalu.

Tambah Dr Swaminathan, data dari negara yang bakal mengenalkan suntikan booster vaksin akan menentukan hala tuju WHO dalam perkara ini.

Katanya, kebanyakan negara melaksanakan suntikan itu sebagai langkah berjaga-jaga hujung tahun ini, khususnya buat golongan yang terdedah kepada jangkitan, dengan daya tahan terhadap Sindrom Sars-CoV-2 semakin berkurangan.

“Konsep suntikan booster sebegini nampak berkesan serta membuka peluang buat negara yang sudah memberi satu vaksin kepada penduduknya dan menanti bekalan dos kedua untuk mencuba vaksin berbeza,” katanya.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, berkata suntikan booster COVID-19 mungkin diperkenalkan di Britain pada musim luruh bagi mengelakkan tambahan permintaan pada musim sejuk.

“Tujuh vaksin berbeza kini sedang diuji ke atas sukarelawan di England dalam satu kajian suntikan booster yang julung kali diadakan,” katanya. – Agensi