Masih diancam virus dari luar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Walaupun pada hakikatnya, Negara Brunei Darussalam berhasil dalam mengurangkan jumlah jangkitan atau ‘flattening the curve’ namun, Negara Brunei Darussalam masih lagi di bawah ancaman kemasukan virus COVID-19 dari negara luar.

Ini adalah kerana jumlah kes yang dilaporkan di seluruh dunia setakat hari ini telah melebihi sejuta orang dengan lebih 50,000 kematian, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato juga menyarankan masyarakat terus berdoa agar Brunei dapat mengawal penularan wabak COVID-19 ini dan mendoakan pesakit-pesakit diberi kesembuhan sepenuhnya serta negara sentiasa dilindungi Allah SWT.

Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan bahawa memang pada lazimnya, sesuatu wabak hanya akan diisytiharkan tamat apabila tidak ada kes lagi dilaporkan dalam masa dua kali tempoh inkubasi jangkitan di mana bagi COVID-19, ia adalah dua kali ganda, iaitu 28 hari.

Tetapi tegasnya, COVID-19 dijangkakan mungkin tidak akan dapat dihapuskan sama sekali terutama dengan mengambil kira penularannya di tahap global yang belum dapat dikawal pada masa ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menjelaskan mengenai status terkini jangkitan COVID-19. – Gambar oleh Syahmi Hassan
Salah satu pusat kuarantin negara yang terletak di Perkampungan Sukan Berakas. Kementerian Kesihatan juga memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk bekerjasama dan mematuhi masa yang telah dijadualkan untuk mengambil anak-anak mereka pulang dari tempat pengasingan masing-masing. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Oleh yang demikian, tambahnya, adalah sangat penting bagi kita untuk sama-sama mengawal sebaik mungkin penularan jangkitan COVID-19 di negara ini supaya sekurang-kurangnya sebahagian daripada larangan-larangan yang ada pada masa sekarang dapat dikurangkan dengan perlahan-lahan dan secara berperingkat-peringkat.

“Pengurangan larangan-larangan ini hanya akan dapat dilaksanakan selepas pihak Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang lain meneliti dan mengambil kira keberhasilan usaha-usaha pengawalan di negara ini serta di peringkat serantau dan global.”

Yang Berhormat Dato seterusnya memberikan penjelasan mengenai pengiraan hari bagi pengasingan diri (self-isolation) bagi mereka yang tiba ke negara ini.

Beliau berkata, “Sepertimana yang diketahui, tempoh pengasingan diri adalah selama 14 hari dari hari ketibaan. Walau bagaimanapun hari ketibaan adalah dinamakan hari sifar ataupun tidak dikira.”

“Sebagai contoh bagi mereka yang telah tiba pada 20 Mac 2020, pengasingan diri akan tamat pada 4 April 2020 iaitu hari ke-15 setelah menamatkan tempoh hari ke-14,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa perkara itu amat penting bagi memastikan tempoh pengasingan dijalankan dengan sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk bekerjasama dan mematuhi masa yang telah dijadualkan untuk mengambil anak-anak mereka pulang dari tempat pengasingan masing-masing.

Sementara itu, kapasiti maksimum bagi ujian makmal yang dilakukan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1,000 ujian sehari dan pada masa yang sama terdapat penurunan jumlah kes yang disahkan serta dilaporkan setiap hari dan peningkatan jumlah kes telah sembuh.

Pemantauan itu adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan bahawa wabak COVID-19 di negara ini telah dapat dikawal dengan baik.

“Walau bagaimanapun, rakyat dan penduduk negara ini tidak boleh leka dan lalai kerana keadaan pandemik COVID-19 masih berkembang dengan cepat di negara-negara lain,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.