Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ramai ambil remeh influenza

    Oleh Sakini Mohd Said

     

    KUALA LUMPUR – “Lebih teruk daripada denggi!”

    Itu respons Nur Ashikin Abdul Aziz, 32, ketika mengimbau kembali pengalamannya dijangkiti penyakit influenza semasa ditugaskan membuat liputan Program Pembudayaan Masyarakat Jepun di negara matahari terbit itu tahun lepas.

    “Serangan influenza membuatkan tenaga dan sistem imun saya menyusut cepat. Dalam masa 24 jam, saya langsung tidak bermaya berbanding semasa menghidap denggi.

    “Bayangkan, saya tidak pernah terbaring di kerusi hospital biar pun disebabkan denggi. Tetapi, apabila dijangkiti influenza, saya tiada tenaga langsung,” katanya kepada Bernama.

    Wartawan di sebuah organisasi media itu berkata beliau dan beberapa rakan wartawan lain yang mengikuti rombongan itu mengambil remeh nasihat penganjur mengenai kepentingan pemakaian penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri kerana pada masa itu, Jepun mengalami serangan influenza.

    Nur Ashikin Abdul Aziz (lima kanan) bersama rakan media lain semasa membuat liputan Program Pembudayaan Masyarakat Jepun pada tahun lepas. – Bernama
    Pengalaman diserang penyakit Influenza di negara matahari terbit itu banyak menyedarkannya mengenai kepentingan pengambilan vaksin influenza sebelum ke luar negara. – Bernama

    “Ketika diserahkan kepada keluarga angkat di Hokkaido, saya sudah pun rasa tidak sihat. Ingatkan demam biasa tetapi esoknya masih sama lalu ibu angkat membawa saya ke farmasi untuk membeli ubat tetapi tidak berkesan.

    “Akhirnya, terpaksa menghubungi pihak penganjur yang membawa kami ke hospital… rupa-rupanya, saya dan beberapa rakan media lain disahkan menghidapi influenza A ,” katanya.

    Nur Ashikin berkata mereka diberi rawatan segera termasuk dengan menyedut ubat serbuk menerusi hidung dan mengambil beberapa jenis pil untuk meredakan kesakitan. Rawatan pantas itu tidak mengurangkan suhu demam yang melebihi 39 darjah selsius ketika itu namun, ia membantu memberi kelegaan kepadanya dan wartawan lain serta tidak perlu dimasukkan ke wad.

    “Penganjur asingkan kami dengan memberikan bilik berasingan dan sentiasa memeriksa suhu badan bagi memastikan tidak berlakunya jangkitan influenza lagi. Suhu badan kembali normal selepas beberapa hari,” katanya.

    Berikutan hampir separuh daripada rombongan media itu dijangkiti influenza, program pembudayaan itu terpaksa dihentikan dan mereka perlu kembali ke negara asal secepat mungkin, katanya yang kini mengambil serius tentang pengambilan vaksin influenza.

    Sambil lewa

    Mengakui masih ramai mengambil sikap sambil lewa dengan penyakit berkenaan, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata ia kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai influenza belum memuaskan.

    Majoriti besar daripada kita sering keliru antara demam selesema biasa atau influenza, yang juga dikenali sebagai flu, berikutan simptomnya adalah hampir sama seperti demam, batuk dan selesema.  Dua penyakit itu berbeza dengan mereka yang dijangkiti influenza akan mengalami demam lebih teruk, batuk, sakit otot badan, sakit kerongkong, timbul pelbagai komplikasi penyakit lain seperti radang paru-paru, meningitis dan serangan asma yang berisiko menyebabkan kematian jika tidak dirawat awal.

    “Sedangkan, demam selesema biasa tidak membawa maut. Ini menunjukkan bahawa penyakit influenza tidak boleh diambil ringan,” jelasnya.

    Prof Dr Zamberi yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)  berkata influenza jarang diambil serius oleh rakyat Malaysia sedangkan ia sebenarnya boleh dan telah menyebabkan wabak pada masa lalu.

    “Ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Individu tanpa penyakit kronik, boleh sembuh daripada influneza dalam masa beberapa hari. Apa yang membimbangkan kami adalah golongan berisiko tinggi kerana ia boleh mendatangkan kesan memudaratkan termasuk kehilangan nyawa,” katanya.

    Antara kumpulan berisiko tinggi adalah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun, penghidap penyakit pernafasan seperti asma serta penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD), pesakit diabetis dan jantung selain pelancong.

    Vaksinasi  

    Hakikatnya, influenza boleh dicegah melalui vaksinasi tetapi masih ramai individu berisiko tinggi mahupun yang tiada masalah kesihatan, tidak berbuat demikian.

    Selain kurang kesedaran, mereka menganggap influenza adalah penyakit musim sejuk di negara-negara yang mengalami empat musim. Influenza juga berlaku di negara beriklim tropika seperti Malaysia berikutan mudahnya perjalanan udara pada masa kini.

    Terdapat empat jenis influenza iaitu Influenza A (H1N1, H3N2), Influneza B (B/Yamagata dan B/Victoria).

    “Di Malaysia, kebiasaannya berlaku influenza B. Ia sangat mudah dijangkiti kerana virus influenza boleh tersebar daripada individu kepada individu lain menerusi air liur disebabkan batuk, bersin atau bercakap.

    “Tempias virus yang terkena pada permukaan objek seperti pintu boleh bertahan lebih daripada sejam dan seseorang itu boleh dijangkiti apabila menyentuhnya,” kata Prof Dr Zamberi.

    Beliau menjelaskan seseorang itu boleh menyebarkan influenza sebelum dia menyedari dirinya dijangkiti kerana manusia mempunyai tahap imuniti berbeza antara satu sama lain.

    Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin pula berkata adalah menyedihkan melihat ramai yang beranggapan pengambilan vaksin semasa hamil akan memudaratkan kesihatan anak damit yang dikandung seperti kemungkinan berlaku kecacatan.

    “Sedangkan kajian mendapati di Amerika Syarikat, yang menyuntik vaksin itu kepada dua juta wanita mengandung dari 2003 hingga 2005, tiada sebarang masalah berlaku kepada kandungan mereka.

    “Ini membuktikan pengambilan vaksin adalah selamat untuk wanita hamil. Ia melindungi wanita hamil dan anak damit sehinggalah beberapa bulan selepas dia dilahirkan,” katanya.

    Suntikan vaksin influenza tidak boleh diberikan kepada anak damit berumur kurang enam bulan dan?statistik menunjukkan mereka terdedah dua kali ganda boleh dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza.

    Kanak-kanak berusia kurang lima tahun juga berisiko kerana sistem imun mereka masih rendah, kata Dr Musa sambil memberitahu berjuta-juta kanak-kanak dijangkiti influenza setiap tahun.

    Dalam keadaan paling teruk, jangkitan boleh merebak daripada kanak-kanak kepada anggota keluarga lain dan berisiko menyebabkan kematian.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu berusia enam bulan ke atas harus mengambil vaksin influenza setiap tahun kerana virus itu sentiasa bermutasi.

    Berikutan itu, penghasilan vaksin flu sentiasa diperbaharui, kata Pakar Perunding Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Tan Maw Pin.

    “Biasanya vaksin baharu dikeluarkan sama ada pada September atau Oktober. Saya galakkan pesakit untuk dapatkan suntikan vaksin tahunan pada Oktober.

    “Virus influenza sentiasa bermutasi dan tindak balas imun tubuh juga semakin berkurangan. Oleh itu, digalakkan mengambil vaksin setiap tahun untuk perlindungan optimum,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda