Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Masih ramai pakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Meskipun pemakaian pelitup muka dalam dan luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula hari ini, rata-rata masih ramai yang memakainya sebagai langkah berjaga-jaga.

    Semasa tinjauan di Tamu Kianggeh, pengunjung dan penjual masih lagi menerapkan langkah pengawalan COVID dengan sebilangannya menyambut baik pelonggaran tersebut.

    Salah seorang peniaga di tamu tersebut, Dayang Aini semasa ditemu bual menyatakan, beliau akan terus memakai pelitup muka dan membuat penjarakan semasa berurus niaga dengan orang ramai.

    “Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga kerana kita tidak mengetahui pelanggan dan pengunjung yang datang itu dalam keadaan yang sihat atau tidak, walaupun jumlah kes sudah terkawal,” tambahnya.

    Sementara itu, seorang lagi peniaga, Awang Zaini menyatakan rasa syukur dengan pelonggaran pemakaian pelitup muka itu, namun, katanya, tetap beringat-ingat dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.

    Dayang Aini semasa ditemu bual di Tamu Kianggeh.
    ATAS & BAWAH: Awang Zaini dan Haji Salleh semasa ditemu bual.

    Manakala Haji Salleh turut bersetuju dengan keputusan pelonggaran beberapa langkah pengawalan COVID dan pemakaian pelitup muka dan ia juga terpulang kepada individu masing-masing, seperti yang dijelaskan pada sidang media baru-baru ini.

    Pemakaian pelitup muka, katanya, adalah satu langkah yang baik terutama bagi mereka yang merasakan kurang sihat seperti mengalami batuk dan selesema bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    Beliau juga menyahut baik pemakaian pelitup muka untuk pengendali makanan, selain menjaga kesihatan diri sendiri dan pembeli yang mana secara tidak langsung ia akan menjaga kebersihan semasa berjual beli.

    Sementara itu, Haji Ab-dullah bin Duraman pula ketika ditanya mengenai pelanjutan waktu bagi pos-pos kawalan imigresen bagi laluan darat dari pukul 6 pagi hingga 8 malam, beliau menyokong dan menyambut baik tempoh masa yang lebih panjang untuk merentas sempadan itu dilanjutkan.

    Katanya lagi, “walaupun waktu beroperasi bagi pos kawalan imigresen bagi laluan darat telah dilanjutkan lagi tempohnya, orang ramai juga perlu memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

    “Dengan perlanjutan waktu beroperasi ini, ia akan dapat lagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada keluarga yang ingin menziarahi keluarga masing-masing,” jelasnya.

    Terdahulu, semasa sidang media COVID di Kementerian Kesihatan pada 12 September lalu, beberapa langkah pengawalan COVID telah dikemas kini termasuk syarat pemakaian pelitup muka di dalam bangunan ditarik semula yang berkuat kuasa pada 15 September.

    Bagaimanapun, orang ramai boleh membuat pilihan sendiri untuk memakainya tetapi pemakaian pelitup muka masih diwajibkan untuk mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan yang ada keperluan untuk keluar rumah; semasa di kemudahan kesihatan sama ada kerajaan atau swasta termasuk hospital, klinik, ambulans, pusat swab dan pusat suntikan; dan jika diperlukan oleh mana-mana penganjur majlis.

    Selain itu, pengendali-pengendali makanan yang terlibat dalam penyediaan makanan di restoran, kedai makan, kafe dan gerai adalah juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka semasa bekerja bagi memastikan amalan pengendalian makanan di negara ini sentiasa berada di tahap yang baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...