Masih utuh berkawan

Keputusan bekas vokalis Kristal, Kecik memilih haluan sendiri selepas setahun bersama diterima anggota kumpulan itu dengan hati terbuka.

Pemain gitarnya, Rody atau Muhamad Rodi Baharuddin, 33, berkata mereka berterima kasih kepada Kecik kerana berterus terang dan meluahkan dilema yang dihadapi sepanjang bersama Kristal.

“Kita bersifat terbuka dan tidak perlu sorok. Kita terima apa juga keputusan, malah menghargai tindakan Kecik kerana dia berterus terang. Jiwa dalam muzik tidak boleh dipaksa dan dibeli. Setiap perkara boleh selesai jika kita sepakat dan berbincang. Selepas perbincangan bersama, kami bersedia lepaskan Kecik. Keputusan yang dibuat itu turut membabitkan ayah saya, Pak Din, selaku pengasas Kristal. Apa juga yang berlaku, kawan tetap kawan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

Khamis lalu, Kecik atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Kamarudin, 25, mengumumkan keluar daripada kumpulan rock itu secara rasmi selepas mendapat persetujuan anggota lain. Luahnya, dia terpaksa meninggalkan Kristal selepas membuat pertimbangan sewajarnya kerana menganggap, dirinya tidak mempunyai jiwa sebagai penyanyi rock.

Kecil yang sebelum ini pernah menyertai Hyper Act berkata, dia enggan Kristal berdepan kejatuhan semata-mata kerana dirinya tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai vokalis dengan baik. Selain Kecik dan Rody, Kristal turut dibarisi Muhamad Ashraff Baharuddin atau Acap selaku pemain dram serta Muhammad Afifi Nor Mohamed (bass).

Kecik menyertai Kristal pada Oktober 2018 bagi menggantikan bekas vokalis kumpulan itu, Lan Solo, yang mengundurkan diri setahun sebelum itu. Mereka sempat menghasilkan sebuah single, Cintaku Kristal, selain beraksi dalam persembahan di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan Sabah, awal tahun ini. – Agensi

Selain Kecik dan Rody, Kristal turut dibarisi Muhamad Ashraff Baharuddin atau Acap selaku pemain dram serta Muhammad Afifi Nor Mohamed (bass). – Agensi