MOSCOW, 16 Mac – Liga Perdana Rusia mengambil keputusan menutup Stadium Rostov kerana padang yang teruk, seminggu selepas jurulatih Man United Jose Mourinho menyelar keadaan permukaan padang terbabit.
Pihak penganjur berkata mereka menggantung perlawanan di arena Olimp-2, termasuk Central Stadium di Kazan sehingga kedua-dua padang di stadium itu memenuhi standard.
Mourinho mengecam keadaan padang yang kering itu dan tidak mempunyai rumput pada bahagian tertentu sebelum sepak mula aksi Liga Europa dengan Rostov yang berkesudahan 1-1, Khamis lalu.
“Ia sukar untuk mempercayai kami akan beraksi di atas padang sebegini – jika anda memanggilnya sebagai padang,” kata Mourinho.
Timbalan gabenor Rostov, Igor Guskov menjelaskan kepada agensi berita TASS permukaan padang yang kurang bermutu itu berpunca daripada salji musim sejuk lalu.
“Ketika ini pasukan teknikal stadium ini sedang mengambil semua langkah yang perlu,” katanya.
Pegawai Liga Perdana Rusia berkata stadium Rostov akan diperiksa semula 24 Mac ini, sebelum aksi di laman sendiri menentang Krasnodar 31 Mac ini. – AFP