Masing ahli politik berjaya, berjiwa rakyat – Taib Mahmud

KUCHING, NOV 1 – Meminta mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing meletak jawatannya sebagai seorang pegawai kanan di Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak adalah antara saat yang masih diingati Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun sebelum bersara pada 2014 berkata beliau meminta Masing berbuat demikian ketika itu, kerana beliau dapat melihat potensi yang dimiliki Masing untuk menjadi seorang ahli politik yang berjaya dan berjiwa rakyat.

“Saya panggil dia (Masing) pada satu hari ketika dia bekerja di Sesco, Saya rasa, (dan saya tanya dia) ‘Bolehkah saya minta secara baik untuk anda berhenti (dari kerja anda)?” kata beliau menceritakan saat itu kepada media, selepas melakukan penghormatan terakhir ke atas mendiang Masing hari ini.

Menurut Abdul Taib, Masing yang agak terkejut dengan pertanyaannya ketika itu telah bertanya: “Ooh.. apa yang telah saya lakukan baru-baru ini (sehingga tuan minta saya letak jawatan)?”, sebelum memberitahu Masing rancangannya untuk membawanya menyertai politik dan menjadi salah seorang anggota Kabinetnya.

“(Masing berkata) saya tidak tahu sama ada saya akan jadi seorang ahli politik yang bagus atau tidak, tetapi saya bagi tahu dia (Masing) anda seorang yang jujur, anda sayang bangsa anda, anda akan lakukan dengan baik…dan beliau telah lakukannya dengan baik.

“Seorang yang amat baik. Beliau berkhidmat di kawasannya dengan baik dan mempunyai ramai kawan-kawan di sini,” katanya.

Abdul Taib berkata Masing baginya adalah seorang sahabat dan rakan sekerja yang baik, selain menjadi seorang menteri yang dedikasi dalam menjalankan tugasnya ketika menyertai Kabinet Sarawak pimpinannya sebagai Ketua Menteri Sarawak dahulu.

“Saya amat sedih kerana kehila-ngan seorang kawan dan rakan sekerja, beliau seorang yang baik dan sopan,” tambahnya. – Bernama

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (tiga, kiri) dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi (dua, kanan) memberikan penghormatan kepada mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing di kediaman beliau, semalam. – Bernama