Masjid Al-Aqsa ditutup 3 minggu

BAITULMAQDIS, 16 SEPT – Perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, tempat ketiga tersuci umat Islam, akan ditutup bermula Jumaat berikutan peningkatan kes koronavirus, umum pihak berkuasa yang mentadbir bandar tempat suci umat Islam itu.

Dengan kes virus yang meningkat di wilayah Israel dan Palestin, pihak berkuasa Waqf mengadakan perjumpaan tergempar dengan pegawai kesihatan.

Ahli Waqf membuat keputusan untuk ‘menggantungkan kemasukan para jemaah bermula Jumaat petang (18 September) bagi tempoh tiga minggu akan datang’.

“Kami berharap para penduduk akan memahami prosedur ini, bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan kita bersama,” beritahu ahli Waqf, Hatem Abdel Qader kepada AFP. Penutupan tersebut bertepatan dengan perintah berkurung selama tiga minggu yang dikenakan oleh Israel, yang mengawal kemasukan ke perkarangan masjid.

Azan solat masih diteruskan di seluruh bandar Baitulmaqdis, menurut Qader, sementara petugas Waqf akan dibenarkan untuk mengerjakan solat di masjid tersebut.

Negara Jordan merupakan penjaga perkarangan masjid, yang dikenali sebagai Haram al-Sharif oleh umat Islam, atau Holy Sanctuary dan Temple Mount bagi orang Yahudi.

Ini merupakan kali kedua Waqf mengambil keputusan untuk menutup perkarangan sejak penaklukan Israel di barat Baitulmaqdis semasa Peperangan Enam Hari pada 1967.

Israel sebelum ini menghalang kemasukan ke tempat penularan, yang menjadi tumpuan penduduk Palestin.

Waqf menutup perkarangan semasa kemuncak pandemik pada Mac.

Pihak berkuasa Israel melaporkan hampir 167,000 kes koronavirus dengan 1,147 kematian. – AFP