Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Masjid baharu di RPN Kampung Lumut

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lumut, Daerah Belait dan sekitarnya tidak lama lagi akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu di atas sebidang tanah berkeluasan 5.3 ekar dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $4.7 juta.

    Sehubungan itu, upacara mendirikan tiang masjid baharu itu telah diadakan hari ini di mana acara menuang simen disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat bersama majlis.

    Pembinaan bangunan masjid baharu itu dijangka siap pada Januari 2024 menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN).

    Masjid baharu berkenaan boleh menampung lebih kurang 2,045 orang jemaah dan antara kemudahan yang disediakan adalah dewan sembahyang utama lelaki, dewan sembahyang perempuan, bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik sistem PA, pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat berwuduk lelaki, tandas dan tempat berwuduk perempuan, tandas orang berkeperluan khas (OBK) lelaki, tandas OBK perempuan, bilik pengurusan jenazah, bilik stor, dapur dan tempat letak kereta orang awam serta tempat letak kereta OBK.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminuddin.

    Majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda yang diikuti oleh para jemputan khas yang hadir.

    Seterusnya, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Abdul Qayyum. Di penghujung majlis, tetamu kehormat bersama serta para jemputan yang hadir melihat dengan lebih dekat ciri-ciri bangunan masjid baharu tersebut yang dipamerkan.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa acara menuang simen bagi pembinaan bangunan masjid baharu bagi penduduk RPN Kampung Lumut, Daerah Belait yang dijangka siap pada Januari 2024.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai bersama para jemputan yang hadir.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika mendengar penerangan lanjut mengenai pelan masjid yang bakal dibina.
    Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad semasa acara menuang simen, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...