Masjid baharu siap Julai ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Mei – Penduduk Kampung Bukit Panggal dan sekitarnya akan mempunyai sebuah masjid baharu yang dijangka siap pembinaannya pada bulan Julai 2018.

Masjid baharu ini dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lima ekar dengan menggunakan perbelanjaan daripada Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang berjumlah $3 juta.

Sehubungan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu Kampung Bukit Panggal telah diadakan pagi tadi dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar selaku ahli Majlis Ugama Islam Brunei.

Turut hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya; Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Roslan bin Haji Taja‘ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang bersama penghulu Mukim Keriam, pemangku ketua Kampung Bukit Panggal dan Ahli Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin selaku tetamu kehormat menyempurnakan penuangan simen bagi mendirikan tiang masjid baharu Kampung Bukit Panggal, pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Fauzi bin Haji Anuar.

Semasa majlis tersebut Menteri Hal Ehwal Ugama turut mendengar taklimat mengenai projek pembinaan masjid baharu yang disampaikan oleh Arkitek Jabatan Kerja Raya, Haji Muhazzam bin Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti.

Majlis diikuti dengan laungan azan oleh Imam Masjid Haji Abdul Azim, Kampung Luagan Dudok, Haji Hasmali bin Haji Talip dan diikuti dengan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohammad Fauzi.

Majlis seterusnya diikuti dengan menuang simen ke tapak binaan masjid baharu yang didahului oleh tetamu kehormat majlis.

Keseluruhan kapasiti masjid baharu Kampung Bukit Panggal boleh menampung seramai lebih kurang 600 orang jemaah.

Di antara kemudahan yang disediakan di masjid ini adalah seperti dewan sembahyang utama lelaki, ruang sembahyang perempuan, bilik kuliah, Bilik Perpustakaan dan Teknologi Maklumat, pejabat pentadbiran, bilik tetamu, pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat berwudhu orang berkeperluan khas lelaki dan perempuan, bilik pengurusan jenazah dan lain-lain.