Masjid, balai ibadah dibuka selepas capai 70 peratus vaksinasi lengkap

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Semua masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara akan dibukakan kepada seluruh umat Islam untuk solat fardu lima waktu dan Jumaat jika jumlah vaksinasi lengkap penduduk di negara ini mencapai 70 peratus.

Ia adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berdasarkan ketetapan serta nasihat Kementerian Kesihatan dan bersandarkan hukum syarak yang dipersetujui oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Masjid-masjid, surau-surau, dan balai ibadat seluruh negara bolehlah dipertimbangkan untuk dibuka semula apabila jumlah vaksinasi lengkap rakyat dan penduduk di negara ini mencapai 70 peratus,” jelasnya

Walau bagaimanapun, menurutnya, ia tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Pandu COVID-19 yang mana Kementerian Kesihatan adalah pengerusi bersama jawatan itu.

Vaksinasi lengkap sebanyak 70 peratus dijangka menjadi penanda aras pembukaan masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Beliau menekankan pembukaan masjid, surau dan balai ibadah adalah untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan Jumaat sahaja.

“Aktiviti-aktiviti keagamaan yang lainnya yang lazim dijalankan di masjid-masjid hendaklah ditangguhkan terlebih dahulu sehingga ke satu keadaan yang dirasakan lebih selamat,” tegasnya.

Sewaktu masjid-masjid dibuka nanti, anggota keselamatan berunifom akan membantu dan bekerjasama dengan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dalam mengawal para jemaah seperti kemasukan mereka ke dalam masjid dengan memastikan para jemaah benar-benar mematuhi SOP yang ditetapkan, katanya.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah memperkenankan keputusan MUIB yang bersidang pada 14 Oktober membincangkan langkah-langkah pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadah di seluruh negara. Ia menimbangkan langkah-langkah pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat, dengan mengambil kira keterangan dan nasihat Kementerian Kesihatan dan bersandarkan hukum syarak berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Barang siapa mendengar azan lalu tidak pergi menunaikan sembahyang berjemaah tanpa sesuatu uzur yang menghalanginya, maka sembahyangnya tidak diterima.

Bertanya para sahabat: Apa uzur itu?” Dijawab oleh Nabi Muhammad SAW: “Takut atau sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah).

Hadis tersebut berkaitan dengan kepen-tingan menunaikan sembahyang secara berjemaah yang sangat-sangat dituntut.

“Adapun alasan menutup masjid sebelum ini adalah atas sebab-sebab takut kepada jangkitan wabak COVID-19. Kini berbeza sewaktu gelombang pertama yang mana ketakutan telah pun hilang ataupun semakin menipis setelah adanya vaksin yang terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Sehubungan itu, hukum mengharuskan penutupan kini sudah pun berubah kepada keperluan untuk membuka semula masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat, tambahnya.