Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Salah satu ibadah yang paling agung dan amalan yang dicintai oleh Allah SWT adalah membaca Al-Quran.
Membaca Al-Quran juga mempunyai fadilat yang besar dan kelak akan memberi syafaat kepada pembacanya pada Hari Kiamat.
Untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran, seramai 13 orang jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar hari ini telah mengadakan majlis khatam Al-Quran sebagai menyatakan rasa syukur setelah melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Majlis yang berlangsung di masjid berkenaan bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diteruskan dengan surah-surah lazim bermula daripada Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas, yang diketuai oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang juga membacakan bacaan Takhtim dan Doa Khatam.
Turut menyertai majlis itu ialah Pemangku Ketua Kampung Sungai Besar, Haji Zaini bin Haji Damit dan Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Selain untuk merebut pahala yang berlipat ganda, majlis berkenaan sekali gus untuk mengimarahkan masjid di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan jemaah di masjid itu.