Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Masjid Kampung Panchor Murai telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam 12 malam berturut-turut sempena Maulud Nabi Muhammad SAW bertempat di masjid berkenaan malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi Bin Haji Hafneh.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan ceramah khas sempena Maulud Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Ustaz Pg Haji Reduan Bin Pg Haji Badaruddin.
Majlis diteruskan dengan solat Isya berjemaah dan diikuti bacaan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban), Doa Dikir dan juga acara penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan.
Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan masjid bagi sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan hari kebesaran Islam di samping meraih syafaat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.