Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Masjid Kg Serdang sambut jubli perak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Masjid Kampung Serdang memperingati pembinaan dan penggunaannya pada 22 Ogos 1996 dengan majlis sambutan jubli perak yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.

    Majlis diselajurkan dengan perasmian logo rasmi masjid tersebut dan penyampaian cenderahati kenangan kepada pegawai-pegawai masjid yang pernah berkhidmat di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang turut merasmikan logo.

    Yang Berhormat Pehin juga menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas Jubli Perak kepada Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Serdang, Haji Zakaria bin Haji Ahmad dan pemenang mencipta logo rasmi masjid, Awangku Mohd Rafiuddien bin Pengiran Ramlee.

    Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan cenderahati dan sijil kepada peserta Khatam Al-Quran 25 Kali, dan penyampaian surat lantikan AJK takmir masjid bagi sesi 2022 hingga 2024.

    Terdahulu, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd Khairul Azmy dalam ucapannya antara lain mengongsikan sejarah penubuhan masjid berkenaan.

    Beliau menyatakan bahawa sambutan berkenaan sebagai tanda mengenang dan memperingati sumbangan yang dihulurkan oleh pegawai masjid dan orang ramai.

    Manakala itu, Anugerah Khas Jubli Perak pula adalah bagi mengenang dan menghargai individu yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti untuk masjid.

    Majlis sambutan berkenaan bertujuan untuk meraikan 25 tahun sejak masjid tersebut beroperasi dan digunakan. Selain itu, ia diharap memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai masjid, jemaah dan penduduk kampung sekitarnya serta dihasratkan untuk menyerlahkan Masjid Kampung Serdang kepada masyarakat luar.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan Anugerah Khas Jubli Perak kepada Haji Zakaria.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama melancarkan logo rasmi masjid berkenaan.
    Pencipta logo rasmi masjid berkenaan, Awangku Mohd Rafiuddien menerima hadiah yang disampaikan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...