Masjid Kg Sg Bedaun di Labuan dijangka siap Mac 2021

LABUAN, 21 JUN – Projek pembinaan Masjid Sg Bedaun bernilai RM8.6 juta di sini, dijangka siap pada Mac tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata projek berkenaan, yang bermula pada Mac 2019, mengalami kelewatan kira-kira dua bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masjid ini antara projek pembangunan yang terhenti bermula 18 Mac hingga 20 Mei lepas. Namun ia akan siap pada tahun depan, dan kita akan memberi keutamaan kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Pelantikan Kariah Labuan (pegawai masjid dan surau) di Masjid Annur di sini, hari ini.

Apabila siap kelak, masjid Kampung Sg Bedaun boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu masa dan antara masjid terbesar di pulau itu.

Masjid berkenaan mempunyai menara setinggi 15.5 meter dengan kemudahan bilik imam, bilik mesyuarat dan perbincangan, bilik serba guna dan bilik pengurusan jenazah.

Ahmad Marzuk turut melawat tapak projek tersebut hari ini dan diberi taklimat oleh arkitek kanan Jabatan Kerja Raya Labuan Mohd Yussof Awang. – Bernama

Ahmad Marzuk Shaary (tengah) semasa lawatan ke tapak Projek Masjid Kg Sg Bedaun. – Bernama