Masjid lambang perpaduan Islam

Oleh Syahmi Hassan

TUTONG, 17 Mei – Masjid merupakan sebaik-baik tempat di muka bumi kerana ia adalah rumah Allah SWT, tempat yang suci, tempat berkumpulnya segala kebaikan, tempat orang-orang Islam beribadat dan mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Selain itu, masjid juga merupakan syiar Islam, lambing keagungan dan tempat perpaduan umat Islam.

Perkataan masjid itu berasal daripada Bahasa Arab iaitu sujud yang bererti merendahkan diri. Sesungguhnya apabila seorang hamba itu sujud kepada Allah SWT, maka pada waktu itulah ia paling dekat dengan Allah SWT.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin menjelaskan erti masjid itu ketika menyampaikan Khutbah Jumaat Khas bertajuk ‘Masjid adalah lambang keagungan dan tanda perpaduan umat Islam’ di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal Daerah Tutong semasa sembahyang Fardu Jumaat pertama masjid tersebut hari ini.

“Satu keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW ialah harus mendirikan sembahyang di mana-mana jua tempat ia berada di atas permukaan bumi ini kecuali tempat-tempat yang bernajis atau tempat yang tidak dibenarkan bersembahyang di atasnya menurut hukum syarak. Ketahuilah, permukaan bumi ini adalah masjid bagi seluruh kaum Muslimin,” katanya.

Khutbah Jumaat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili.

Namun itu, jelas Yang Dimuliakan Pehin, walaupun permukaan bumi ini adalah masjid bagi seluruh kaum Muslimin, umat Islam dianjurkan untuk membina bangunan khas yang dinamakan masjid, kerana ia perkara utama yang telah dilakukan dalam hijrah Rasulullah SAW di Madinah, adalah dengan membina Masjid Quba.

“Masjid pada zaman Rasulullah SAW memainkan pelbagai peranan penting. Antaranya sebagai institusi pendidikan dan pengajaran, pusat kemasyarakatan dan kebajikan, tempat pentadbiran, pengadilan dan lain-lain lagi,” tekannya.

Selain itu, masjid juga dijadikan sebagai tempat untuk menyatupadukan masyarakat dan memperkasa semangat ukhuwah persaudaraan.

Khatib juga mengongsikan bahawa memandangkan betapa pentingnya masjid dalam perkembangan agama Islam, maka Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya mendirikan atau membina masjid di mana sahaja mereka tinggal atau berkampung.

Menurutnya, pembinaan masjid merupakan satu kewajipan bagi orang-orang Islam yang tinggal di suatu tempat sama ada di bandar, pekan, mukim dan kampung.

Jelas khatib lagi, Rasulullah SAW ada menyebutkan bahawa Allah paling suka dan kasih jika sesebuah tempat itu mempunyai masjid.

“Perlu diketahui, bahawa orang Islam yang menginfakkan untuk membina masjid, maka amalan itu adalah merupakan satu ibadah yang besar pahalanya. Oleh itu, segala sumbangan membiayai dan membina bangunan masjid adalah sedekah jariah dan merupakan satu pelaburan amal atau saham akhirat,” tekannya.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin, antara kelebihan terbesar bagi orang-orang yang menghulurkan sumbangan membina masjid itu, Allah SWT akan mendirikan rumah untuknya di syurga.

“Alhamdulillah, sebagai sebuah negara Islam di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita berasa amat bersyukur kerana kehidupan beragama di negara ini sangat diambil berat dan diberi perhatian.

“Ini terbukti apabila Baginda telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1436 Hijrah/2015 Masihi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas,” tambahnya.

Menurut beliau, walaupun penubuhan tabung ini baru memasuki tahun keempat, akan tetapi dengan sambutan yang menggalakkan daripada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam ini, maka jumlah kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam sehingga bulan April 2019 adalah sebanyak $8,368,000.

Khatib berharap dengan pembinaan masjid baharu itu akan semakin meningkat dan berkembanglah syiar dan cahaya Islam di Kampung Bukit Panggal. Selain itu, wang daripada tabung tersebut juga digunakan untuk membaik pulih, menambah bangunan masjid dan keperluannya.

“Melihat kepada betapa besarnya kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang menyumbang atau menderma ke tabung tersebut, tidak kira sama ada banyak atau sedikit semuanya itu pasti mendapat ganjaran daripada Allah. Inilah janji Allah kepada orang-orang yang membina masjid.”

Oleh yang demikian, orang ramai khususnya rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk sama-sama mengambil peluang dan kesempatan keemasan ini melakukan amal jariah dan menanam saham di akhirat.