Masjid-masjid kini dibuka kepada orang ramai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Negara Brunei Darussalam kini memasuki peringkat ke-2 Pelan De-escalation di mana masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadah kini mula dibenarkan untuk dibuka bagi solat fardu lima waktu dengan beberapa tambahan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan menggunakan pengimbas kod QR BruHealth.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Menurutnya pembukaan semula masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara akan beralih kepada tahap kedua daripada langkah-langkah pengurangan kawalan bermula hari ini.

Sehubungan itu, wartawan Media Permata berkesempatan meninjau beberapa buah masjid di negara ini untuk melihat secara lebih dekat jemaah yang ingin menunaikan solat fardu di masjid tersebut.

Di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hadir bersama jemaah ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat Fardu Subuh ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Ia merupakan solat fardu pertama berjemaah yang di-kerjakan selepas negara memasuki peringkat ke-2 Pelan De-escalation.

Sebelum memasuki masjid, jemaah perlu mengikut tatacara bagi menunaikan solat fardu lima waktu yang telah ditetapkan seperti mengimbas kod QR BruHealth, mengamalkan penjarakan fizikal dan sosial, pemeriksaan suhu badan yang dilaksanakan oleh petugas masjid (takmir), membawa sejadah dan mensanitasi tangan. Kira-kira 100 jemaah termasuk Muslimah berkesempatan hadir menunaikan solat Fardu Subuh berjemaah itu semenjak wabak COVID-19 melanda negara ini pada minggu pertama Mac lalu.

Di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pula, wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual beberapa jemaah masjid berkenaan dengan pembukaan masjid bagi menunaikan solat fardu lima waktu.

Menurut Awang Khushairi, beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan titah berkenan Baginda bagi pembukaan semula masjid-masjid kepada orang ramai. Beliau turut berpesan kepada semua jemaah yang berhajat untuk menunaikan kewajipan di masjid supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan seperti mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki masjid, membawa sejadah sendiri, memakai penutup mulut dan hidung dan pensanitasi tangan.

Sementara di Masjid Kampung Serdang, Jalan Kota Batu, imam masjid, Pengiran Haji Rusman bin Pengiran HajiShahbudi melahirkan, “Alhamdulillah, dengan kebenaran menunaikan solat fardu lima waktu di masjid menandakan wabak ini semakin pulih dan mudah-mudahan wabak tersebut dapat dibendung dengan sepenuhnya.”

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menunaikan solat Fardu Subuh berjemaah di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar. – Gambar serahan MRSB